Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 LaNuN_KaRiBeaN • 2 years ago • 594 viewed


Agama Islam ialah agama yang amat sempurna dan membina peradaban.

Sebelum itu, apabila kita membicarakan Islam, ia mesti ditujukan kepada masyarakat manusia. Konsep agama itu juga mesti difahami dengan betul. Agama bagi ramai orang satu istilah yang menakutkan, seolah-olah banyak halangan dan undang-undang yang menghalang manusia daripada tindak-tanduk yang bebas.

Islam adalah agama yang menekankan kepada penyusunan kehidupan manusia yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan sama ada di peringkat individu atau di peringkat bermasyarakat. Daripada pembinaan individu dan penyusunan hidup bermasyarakat maka wujudnya sebuah peradaban.

Peradaban ini adalah kemajuan masyarakat dalam pelbagai bidang dengan nilai yang unggul seperti yang dianjurkan oleh Al-Quran iaitu kebenaran, keadilan dan kasih sayang. Maknanya dalam membina peradaban kita mendukung nilai-nilai kebenaran di samping memupuk nilai keadilan dalam mengendalikan kehidupan setiap individu serta penyusunan hidup bermasyarakat.

Apatah lagi di peringkat negara. Keadilan dalam sistem pemilihan kepimpinan, maknanya sistem politik. Begitu juga dalam memenuhi keperluan-keperluan manusia. Maknanya manusia ini dijadikan oleh Allah SWT mengandungi sifat malakiyah (sifat-sifat yang baik) dan bahimiyah (sifat-sifat kehaiwanan).

Maknanya di sini kekuatan malakiyah ini melalui amalan spiritual, rohaniah. Dalam agama Islam ada latihan spiritual yang tertentu, yang khusus seperti solat, puasa, berzakat, melaksanakan ibadat haji. Begitu juga dalam keperluan-keperluan kebendaan seperti kemajuan ekonomi, rekreasi yang diperlukan oleh manusia, membangun hobi manusia.

Jadi kehidupan kepelbagaian itu kalau dipenuhi dengan tepat maka wujudnya sebuah kehidupan yang harmoni dan membolehkan manusia mencapai kesejahteraan kehidupan. Ini yang dikatakan dalam Al-Quran "sebuah masyarakat yang mendapat rahmat dan keampunan Allah SWT."

Sejak akhir-akhir ini agama Islam berdepan dengan banyak cabaran termasuk daripada penyebaran serta penghayatannya.

Apa yang penting ialah pemahaman terhadap Islam itu sendiri. Malangnya, satu yang agak tragedi bagi umat Islam ialah kita membicarakan isu yang remeh-temeh. Isu yang tidak menjadi asas kepada kewujudan sebuah peradaban walhal agama Islam itu menyentuh tentang penyusunan peradaban.
Ini satu cabaran besar. Isu yang remeh-temeh ini membuatkan kita tidak nampak kehebatan Islam itu. Walhal daripada awal lagi, Al-Quran itu memberi panduan untuk menegak kebenaran, keadilan dan kasih sayang di kalangan umat manusia. Ini bukan perkara remeh-temeh.

Isu-isu besar yang harus diberi tumpuan.

Isu yang besar sekarang ini ialah menyentuh beban hidup, kos sara hidup yang tinggi. Contohnya, masalah kemiskinan, masalah jurang perbezaan antara yang berada dan yang tidak berada makin bertambah besar. Saya bercakap dalam konteks global, bukan konteks negara. Isu tentang pengangguran. Ini adalah isu-isu yang besar.

Jadi apakah panduan Al-Quran berkaitan dengan penyusunan ekonomi? Satu, contohnya pengaliran harta. Harta jangan hanya mengalir di kalangan sekelumit atau sebahagian kecil masyarakat. Harta mesti mengalir dan mencetuskan lebih banyak peluang kepada aktiviti ekonomi. Isu ini yang perlu ditangani oleh para pemikir Islam.

Satu lagi contoh ialah hasil. Bagaimana hasil dipungut? Begitu juga dasar pembiayaan, perbelanjaan pemerintah dalam sesebuah negara itu? Dan dasar kewangan. Jadi kedua-dua dasar fiskal dan dasar kewangan itu mestilah menghala kepada pengaliran harta dana yang terkumpul dalam sesebuah masyarakat.
Usaha-usaha yang sedemikian boleh mencetuskan lebih banyak peluang ekonomi dan masalah kemiskinan insya'Allah dapat kita kurangkan. Di sini juga penting sistem pendidikan di mana kita melengkapkan setiap individu dalam masyarakat kita memiliki kemahiran dan kepakaran untuk mengendalikan kehidupan dalam pelbagai bidang.

Sebab itu dari awal-awal lagi ayat Al-Quran yang pertama diturunkan "Iqra" bertumpu kepada pembacaan, kepada ilmu. Pentingnya masyarakat dilengkapkan dengan ilmu kerana ia dapat mengatasi masalah kemiskinan. Kita juga memerlukan sistem ekonomi yang adil, bukan sistem yang memanipulasi dan menindas. Ini yang berlaku dalam sistem kapitalisme sekarang.

Masyarakat Barat sedar tentang keburukan sistem kapitalisme yang menyebabkan kemiskinan meningkat. Sebab itu saya katakan Al-Quran memberi tumpuan kepada keadilan. Isu-isu yang besar sebegini perlu ditangani masyarakat Islam.

Islam berdepan dengan pelbagai cabaran.

Yang menjadi cabaran kepada kita ialah pemahaman agama di kalangan masyarakat Islam itu sendiri dan cara menyampaikan agama itu menyempitkan agama walhal agama itu begitu tinggi. Rujuk kepada hadis Rasululullah yang bererti "Islam itu tinggi dan tidak ada perbandingannya" dan ketinggian Islam itu apabila kita dapat memahami Al-Quran.

Apa yang hendak disampaikan oleh Al-Quran itu ialah seperti yang saya katakan di awal tadi iaitu nilai kebenaran, keadilan dan kasih sayang. Kita juga tidak boleh mengabaikan keperluan spiritual dalam diri manusia. Pengabaian seperti ini yang berlaku di Barat sebab di Barat agama yang dianuti mendukung ideologi sekular. Agama itu untuk peribadi, bukan agama untuk menyusun masyarakat awam. Ini yang berbeza dengan agama Islam.

Islam bukan agama untuk peribadi sahaja tetapi agama untuk kita menyusun kehidupan bermasyarakat sehingga wujudnya sebuah masyarakat yang berperadaban tinggi, dengan nilai kemanusian, keadilan dan kasih sayang. Kita memupuk nilai kasih sayang di kalangan masyarakat manusia bukan mengemukakan pendekatan konflik.

Pengaruh-pengaruhBarat semakin menular dalam kehidupan kita hari ini.

Ideologi sekular ini meresap bukan sahaja di kalangan masyarakat Islam di Malaysia tetapi juga masyarakat Islam seluruh dunia. Walhal kita kata kita orang Islam tetapi kita begitu bangga dengan pendekatan sekular yang dianjurkan oleh ideologi sekular misalannya kebebasan.
Kita tidak dapat nafikan, Islam juga memberi kebebasan kepada individu tetapi kebebasan ini disertai dengan tanggungjawab, Kebebasan dalam konteks masyarakat sekular menganjur pendekatan kapitalis "laissez-faire" (kebebasan mutlak). Ini yang menular dalam masyarakat kita. Kepentingan kepada diri menimbulkan perbezaan antara berada dengan yang tidak berada yang semakin melebar. Ini bahaya.

Ini memerlukan satu perjuangan. Perjuangan untuk masyarakat Islam di Malaysia, untuk menyampaikan Islam sebagai agama yang memberi penekanan kepada penyusunan kehidupan masyarakat manusia.

Ianya sama ada di peringkat individu atau peringkat bermasyarakat yang menyentuh pelbagai bidang termasuk pentingnya kepada kejituan keyakinan kita kepada yang Maha Esa. Sebab itulah apabila kita katakan kita memperingati hari kelahiran Nabi kita Rasulullah SAW kita teringat kepada ayat Al-Quran yang bermaksud "Diutuskan kau Muhammad ialah untuk memberi rahmat kepada sekelian alam" bukan kepada orang Islam sahaja, kepada juga orang-orang bukan Islam.

Selepas itu Nabi membangunkan Piagam Madinah iaitu Perlembagaan bagaimana hendak menyusun kehidupan masyarakat Islam dan bukan Islam di Madinah pada waktu itu. Dalam kita memperingati hari kelahiran Nabi, kita perlu memahami usaha-usaha yang dibawa oleh Nabi SAW untuk membina peradaban.

Pada akhirnya selepas 23 tahun kita melihat terbinanya sebuah peradaban mengguna pakai panduan daripada Al-Quran dan diterjemahkan dalam konteks sosial, budaya, dan realiti pada waktu itu di mana masyarakat Islam bukan masyarakat majoriti tetapi masyarakat minoriti. Keunggulan panduan bersandarkan kepada prinsip Al-Quran itu yang menepati fitrah manusia bermasyarakat maka dapat diterima pakai oleh penganut-penganut agama lain.

Kita membawa pendekatan kepada peradaban, kita tidak memberi penekanan dalam segi pembinaan hukum.

Kita tidak boleh mengambil panduan Al-Quran tanpa memahami suasana dan keadaan realiti semasa. Panduan Al-Quran dan memahami realiti semasa, barulah kita dapat mengemukakan apakah pendekatan yang sesuai kerana Al-Quran itu adalah panduan kepada kehidupan masyarakat manusia.

Sebab itu Al-Quran itu sentiasa relevan kalau kita memahami Al-Quran itu. Malangnya, dalam konteks masyarakat kita tumpuan diberi kepada kaedah membaca dan menghafal sahaja, bukan memahami Al-Quran itu, jadi Al-Quran itu tidak boleh menjadi panduan dalam kehidupan kita hatta dalam pembinaan keluarga.

Contoh dalam pembinaan keluarga menarik sekali kalau kita lihat apa yang disarankan oleh Saidina Ali. Saidina Ali menyatakan tiga panduan berpandukan Al-Quran. Anak-anak 7 tahun ke bawah bermain-main dengan mereka, 7 tahun ke atas sampai 14 tahun kita adakan sedikit disiplin, disiplin bukan menghukum bukan merotan.

Kita tidak boleh hendak menggunakan kekerasan dengan anak-anak yang sudah besar dan dewasa, kita berkawan dengan mereka. Tengok pendekatan yang dianjurkan oleh Saidina Ali. Begitu juga kita lihat pada zaman Nabi Rasulullah SAW. Baginda begitu menghormati anak, bila anak tiba di rumah Baginda bangkit dan menyambut anaknya. Baginda juga seorang pendengar yang baik, menghormati kanak-kanak.

Islam perlu difahami semuanya ke arah pembinaan peradaban, menyentuh pelbagai aspek termasuk budaya, kekeluargaan, teknologi, ekonomi, pengurusan, politik, perundangan dan syariah. Tidak kepada aspek hukum sahaja. Jadi kalau kita hanya melihat Islam daripada aspek hukum sahaja, ini yang menyebabkan Islam tidak dapat digambarkan sebagai agama yang membina peradaban. Mendidik, menghayati dan melaksanakan Islam. Insya'Allah baru kita dapat melihat hasilnya kalau kita dapat faham dan melaksanakannya dengan sempurna. Insya'Allah hasil atau natijahnya positif.

Yang penting keikhlasan, kejujuran kita kepada Islam itu sendiri di atas dasar keyakinan untuk menyelamatkan umat manusia apatah lagi dalam kepincangan peradaban semasa.

Sentiasalah kitaberdoa kepada Allah SWT untuk memudahkan urusan kita. Urusan ini adalah amanah yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita. Bunyinya besar tetapi itulah Islam "Islam itu Tinggi", jadi kita mesti berjiwa besar. Wallahua'lam...

Virtual Friends - Copyright © 2001-2014 Webber Dot My Solutions (002351632-A). All rights reserved