Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 DilaDellila • 4 years ago • 7,383 viewed



Dalam persediaan menyambut perkahwinan, ternyata ia menyerlah kemurnian dan keindahan seni budaya sesuatu bangsa itu sendiri. Kerja-kerja menyiapkan pelamin memerlukan kerjasama yang kadangkala memakan masa sehingga beberapa hari. Sanak saudara yang berkumpul secara tidak langsung akan merapatkan lagi ikatan persaudaraan.Namun apa yang menarik lagi ialah penonjolan artifak dan pelbagai warisan budaya yang menjadi identiti sesuatu masyarakat itu.
Di Nusantara, bahan-bahan yang diciptakan mengandungi unsur-unsur kebudayaan India, Parsi, Arab, Cina dan sebagainya. Dalam unsur kemajmukan masyarakat Melayu ini, ternyata pengaruh Hindu dan Islam dalam persiapan perkahwinan saling mempengaruhi, selain pengaruh barat moden.

Secara tradisional pelaminan dan perkahwinan menggabungkan unsur-unsur material seperti pahar, tepak sireh, senjata, dulang, tempat tidur, perhiasan diri, alatan manik dan sebagainya. Artifak yang menghiasi pelaminan seperti pelbagai jenis tadbir, hiasan, kelambu, bantal, payung, kipas, tikar dan sebagainya memberi pengertian tentang khazanah budaya Melayu.


Pelamin Melayu Riau
Pelamin Melayu Riau mempunyai keunikkan dan keistimewaannya yang tersendiri. Riau sebagai sebuah kerajaaan Melayu sejak yang wujud sejak abad ke-18, mempunyai banyak persamaan dengan adat di negeri-negeri Semenanjung Malaysia seperti Melaka dan Johor. Namun demikian, masyarakat Melayu-Riau masih banyak mengekalkan amalan adat dan aturcara lama sejak zaman-berzaman terutamanya dalam majlis perkahwinan. Antaranya ialah reka bentuk, corak dan peralatan pelaminan yang digunakan pada zaman ini.

Pelaminan Melayu-Riau mempunyai lima bilik atau ruang dan mempunyai nama serta kedudukan yang tertentu iaitu ruang pelaminan (di tengah-tengah), ruang bergurau (di hujung kanan), ruang menunggu (di tepi kanan), ruang tidur lelaki (di hujung kiri) dan ruang makan (di tepi kiri). Panjang setiap ruang ialah di antara 2 hingga 2.5 meter. Kedudukan bilik atau ruang adalah selari dan memerlukan tempat sepanjang 15 meter. Sementara itu, ruang pelaminan dianggarkan 3.5 meter dan ruang-ruang lain adalah sepanjang 3 meter. Ruang pelaminan mempunyai 5 tingkat yang mengambarkan status tertentu. Perlu diketahui bahawa pelaminan seperti ini adalah khusus bagi orang-orang besar dan berkedudukan tinggi sahaja.

Terdapat pelbagai jenis warna kain digunakan bagi menghiasi pelamin seperti tabir dan tempat alas untuk menutupi bahagian lantai bilik-bilk tersebut yang kebiasaanya dari jenis satin Cina atau baldu. Manakala kain baldu bertekat perada emas dan dihiasi manik serta cermin bermotifkan bunga, daun, awan larat dan tumbuh-tumbuhan dijadikan tirai bagi menghiasi pelamin tersebut. Bagi memeriahkan lagi suasana, katang-katang berbentuk binatang seperti ayam dan pino-pino berbentuk bunga atau kerawang yang dihiasi manik-manik berjuntai akan digantungkan. Dihadapan pelamin pula dibentangkan tikar lambak yang diperbuat dari daun pandan hutan. Panca Puri iaitu tempat meletak bunga telur setinggi lima tingkat bersama nasi kunyit juga diletakkan di sisi pelamin sebagai hadiah kepada tetamu. Pelamin Melayu-Riau turut dihias dengan perhiasan-perhiasan lain yang mempunyai nama-nama khusus seperti Tangkup Pelamin / Selambayung (Jatuh Kembar), kelambu jatuh cekak Cina, kelopai (tekap perada emas), kelambu sibak atau kelambu jatuh, pelbagai jenis tabir; contohnya tabir gulung (tabir jatuh), tangkup pelamin, bantal papan besar, bantal akad dan bantal sandar, bantal gembong dan bantal alas kaki, pino-pino, katang-katang, langsir dan sebagainya. Melalui hiasan-hiasan tersebut, pelamin ini kelihatan menarik dan berseri, secara tidak lansung menggambarkan keunikkan budaya masyarakat Melayu-Riau.

Sejarah Pakaian dan Tekstil Melayu
Pada milenia pertama masihi, kerajaan Melayu mempunyai pelbagai hubungan dengan kerajaan-kerajaan di Asia Tenggara, kerajaan China dan negara-negara yang lebih jauh. Dari tahun 700 sehingga 1000 masihi, kerajaan Srivijaya Palembang merupakan kuasa anterpot yang sangat kuat yang memperoleh keuntungan dari perdagangan antarabangsa. Ia mentadbir pertukaran bahan logam yang berharga dan hasil-hasil hutan dengan kain kapas dari India, sutera, teh dan porselin dari China. Hubungan orang Melayu Semenanjung dengan India, China, tamadun-tamadun tanah besar Asia Tenggara dan kaum-kaum di gugusan kepulauan Indonesia memainkan peranan penting dalam perkembangan tradisi tekstil dan pakaian orang Melayu.

Milenia kedua masihi menampakkan pengaruh-pengaruh baru terhadap Semenanjung, terutama sekali pertukaran pusat pemerintahan kerajaan di Pulau Jawa, hubungan diplomatik dengan kerajaan China Islam dan bangsa-bangsa Eropah. Suatu ketika dalam pemerintahan kerajaan Majapahit, Islam mula tersebar ke Sumatera sedikit demi sedikit. Justeru pedagang-pedagang yang paling gigih waktu itu terdiri daripada bangsa Arab dan India Muslim. Islam telah bertapak dengan kuat di entrepot-entrepot di Sumatera.

Pedagang-pedagang Muslim di pantai utama Pulau Jawa mengalakkan pengeluaran gaya-gaya tertentu untuk pengguna yang beragama Islam terutama di Sumatera. Mereka bukan sahaja meluaskan pasaran tekstil juga turut menpengaruhi rupabentuk pada kaligrafi Arab. Pada sudut sejarah, kain sarung merupakan bentuk pakaian orang Melayu. Lelaki dan perempuan tidak terkecuali memakai kain yang ringkas ini, asalnya diperbuat dari kain tenunan tempatan, pelekat India atau bagi majlis istimewa, kain songket dan limas digunakan.

Menjelang kurun ke 20 Masihi, wanita Melayu memakai kemban dari kain sarung. Pada hujung tahun 1900 Masihi, Sultan Johor menyifatkan pakaian ini tidak sesuai mengikut hukum agama Islam jesteru itu baju kurung telah mengambil tempat.

Dalam kebanyakkan masyarakat Asia Tenggara keturunan dan suku kaum dikenali melalui jenis kain motif dan pakaian yang dipakai. Jenis kain tertentu dikhaskan untuk kegunaan majlis adat. Warna-warna tertentu juga turut dikhaskan pada darjat tertentu misalnya kuning bagi raja-raja Melayu.

Kebangkitan Islam sebagai ad-din yang telah dilihat sejak beberapa dekad lalu tentunya membawa perspektif baru terhadap busana Muslim. Hasil produk budaya dan bangsa ternyata memenuhi keperluan masyarakat yg secara tidak langsung meluahkan keprihatinan dan falsafah hidup sesuatu era.

Aksesori
Pakaian tradisional biasanya dilengkapi dengan pelbagai aksesori samada bagi tujuan tertentu mahupun untuk kecantikan diri. Perhiasan-perhiasan ini semuanya adalah hasil seni pertukangan yang halus sebagai sebahagian dari warisan kebudayaan Melayu. Ia melambangkan kepekaan pemikiran, perasaan dan kreativiti yang merangkumi jiwa dan nurani bangsa itu.

Baju Melayu lelaki dan baju kurung wanita yang mempunyai leher bulat dengan belah di bahagian hadapan (baju kurung Teluk Belanga) di semat dengan butang kecil emas berbentuk bulat atau segi empat. Baju kurung cekak musang berkolar tinggi mempunyai dua butang pada bahagian leher dan tiga atau lima butang pada bahagian dada.

Baju kebaya labuh pula dikenakan dengan satu set iaitu tiga keronsang, ibu dan anak keronsang. Yang besar dan berbentuk hampir menyerupai hati ialah ibu dan yang kecil dan bulat ialah anak.

Samping lelaki pula dikemaskan dengan tali pinggang emas atau perak lengkap dengan pending. Keris iaitu senjata Melayu pula disisipkan dalam samping atau bengkong terletak disisi.

Kebanyakkan wanita Melayu berada, merapikan sanggul rambut mereka dengan memakai cucuk sangggul emas atau perak. Kebiasaaanya cuma satu atau dua cucuk sanggul digunakan, tetapi bagi menyambut sesuatu perayaan mereka menggunakan set dalam bilangan tiga,lima dan tujuh. Gelang tangan dan gelang kaki lazimnya dipakai sepasang dan ditempa dari emas keping corak timbul.

Selainnya ialah bekas tembakau hidu dan minyak wangi diperbuat dari wayar emas yang berkerawang serta bekas tembakau (celapa) emas bertatahkan batu permata yang digantung ke pinggang dengan rantai.

Selain dari menghias diri, barang kemas turut dipakai untuk mempamerkan kekayaan pemakainya sesuai dengan keunggulan sesuatu busana itu.

Virtual Friends - Copyright © 2001-2014 Rakan Maya (PPM-0003-10-14012014). All rights reserved