Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 DilaDellila • 4 years ago • 12,748 viewed


“Aku terima nikahnya, Nur Ain Natrah binti Sulaiman dengan mas kahwinnya lapan puluh lapan ringgit tunai.”
Dengan sekali lafaz, aku menjadi milik lelaki yang amat kucintai, Hafizi Luqman bin Idris. Tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan aku ketika ini. Air mata kegembiraan mengalir. Aku memeluk emak yang berada di sisiku, kemudian beralih kepada ayahku. Aku tunduk mencium tangan kedua orang tuaku sebelum upacara menyarung cincin.
Hafizi kemudian datang ke arahku dengan sebentuk cincin. Dia menyarungkan cincin itu pada jari manisku. Kami bersalaman dan dia mengucup dahiku. Lensa dari kamera tidak putus-putus merakam detik bersejarah kami. Sesudah itu, kami berdua bergambar bersama keluarga.
“Mak, ayah. Terima kasih.” Sekali lagi aku memeluk emak. Aku sedih kerana orang tuaku seakan tidak merestui permintaan aku untuk mendirikan rumah tangga bersama insan yang telah kukenal sejak alam persekolahan.
Orang tuaku terpaksa menerima Hafizi kerana aku mendesak dan mengugut mereka. Aku katakan pada mereka bahawa aku sanggup melakukan apa sahaja supaya aku dapat berkahwin dengan Hafizi sekalipun tindakanku akan memalukan keluarga. Sejak itu, emak mula mengalah denganku dan memujuk ayah supaya mewalikan aku.
“Ayah dan mak dah ikut kehendak Ain. Ayah harap Ain tak menyesal dengan perkahwinan ini. Kami sentiasa doakan yang terbaik buat Ain.” Ayah menyentuh bahuku.
Hafizi hanya tersenyum.
“Ain dah jadi isteri kamu Fizi, bimbing dia supaya menjadi isteri solehah. Tanggungjawab sebagai suami ini berat. Sebab itu ayah tak bersetuju kamu kahwin sekarang. Bukan ayah tak sukakan kamu. Cuma ayah nak Ain habiskan belajar dulu. Tapi ini pilihan kamu berdua. Apapun, ayah cuma mampu doakan kebahagiaan anak menantu ayah.” Ayah menghulurkan tangan kepada Hafizi. Hafizi kemudiannya tunduk mencium tangan ayahku.
“Fizi janji tak akan abaikan Ain, ayah. Insya-Allah.”
______________________________
“Ain…Ain…”
“Weh, kau berangan ke? Ain!!” sergah Maisarah, teman sebilikku di kampus.
“Hah??”
“Kau ni kenapa? Ingatkan cik abang? Sabarlah wei, setiap minggu jumpa tak kan baru tiga ari tak jumpa dah rindu.” Maisarah tersenyum.
“Bukanlah Sara. Aku duk fikir pasal assignment yang bertimbun ni. project report pun tak settle lagi.” Aku membelek kertas-kertas di hadapanku. Pura-pura fokus dengan kerjaku.
“oiii sayang. Aku kenal kau dah lama la. Ada hati nak tipu aku. Kenapa ni? Gaduh lagi dengan Fizi? Dah taknak kongsi cerita dengan aku?” tanya Maisarah.
Ya. Maisarah mengenaliku sejak semesta pertama lagi. Hanya dia yang tahu aku telah berkahwin. Rakan-rakan lain masih tidak tahu kerana aku belum bersedia untuk menghebahkan status aku kepada mereka.
“ermmm” aku mengangguk.
“Kenapa? Apa yang kau rasa kali ni?” tanya Maisarah lagi.
“Aku rasa perkahwinanku dengan Fizi satu kesilapan, Sara. Keserasian dan persefahaman sudah tiada. Setiap minggu pasti ada perkara yang boleh buat kami bertengkar walaupun isunya hanya kecil sahaja. Sekarang aku terfikir, kalaulah aku ikut cakap orang tua aku dulu….”aku mengeluh.
“Ain? Kenapa sampai macam ni kau fikir? Kau menyesalkah?”
“Entahlah. Aku tak tahu nak kata apa. Tapi aku rasa Fizi dah tak sayangkan aku. Kitaorang bukan macam dulu lagi, Sara. Kau tak faham sebab kau tak duduk di tempat aku. Aku sendiri tak tahu macam mana nak jelaskan pada kau. Tapi yang pasti, aku rasa perhubunganku dengan Fizi akan berakhir. Cuma tunggu masa sahaja. Cepat atau lambat.” Air mataku menitis.
Maisarah datang kearahku dan terus duduk di kerusi bersebelahan denganku.
“Ya Rabbi, kenapa sampai macam ni Ain? Bukankah kau orang berkahwin atas dasar cinta? Cuba bersabar sikit Ain, jangan cepat sangat melatah. Mungkin Hafizi ada masalah di pejabat dia ke, kita tak tahu kan?”
Aku menggeleng. “Aku tahu kalau dia ada masalah. Selalunya dia akan bercerita dengan aku. Tapi sekarang ni, bukan nak bercerita. Kalau aku tanya pun, asyik kena marah. Aku tak tahu kat mana silap aku.”
“Sabarlah Ain. Cuba kau bawa berbincang elok-elok dengan Hafizi tu. aku tak fikir dia bencikan kau. Mungkin dia ada masalah dan dia tak nak kau tahu. Mungkin dia taknak bebankan kau sebab kau kan masih belajar lagi.”
“Entahlah Sara. Aku tak tahu.”
“Dah lah. Kau dah sembahyang belum? Dah pukul 3.30 ni cik kak oiii, kang terbabas zohor. Siapa nak jawab?”
“Hahahaaaa, ye lah. Kusyuk sangat study sampai lupa tak solat lagi.” Aku mengenyit mata.
“Iyelah tu study. Study lah sangat…” Maisarah ketawa. Aku bangun. Melangkah keluar untuk mengambil wuduk dan menunaikan tanggungjawab sebagai hamba kepada Maha Agung.
_______________
Hujung minggu seperti biasa, aku menunggu Hafizi menjemputku dari kampus. Sudah lima belas minit aku menantinya, namun masih tidak nampak bayang. Sejak tiga minggu lalu, sedikit demi sedikit perubahan Hafizi padaku. Aku sendiri tidak pasti kenapa dia jadi begitu.
Kali ini aku tekad, aku akan bertanya kenapa dia berubah. Setelah satu jam berlalu, barulah Hafizi muncul di depanku dengan ayat yang selalu aku dengar darinya.
“Sorry lambat.”
Aku mengangguk. Malas menjawab kerana hatiku telah lali dengan ucapan itu.
Setelah masuk ke dalam kereta, kami saling berdiam diri. Aku lebih senang melayan perasaan daripada mengajak Hafizi berbual denganku kerana aku yakin, perbualan kami nanti akan berakhir dengan pertengkaran. Akan ada yang tidak kena pada pandangan matanya.
“Ain tak payah masaklah malam ni. Kita singgah makan mana-mana dulu sebelum balik.” Ujar Fizi.
Aku mengangguk lagi. Seketika kemudian, Hafizi memberhentikan keretanya berhampiran sebuah restoran makanan laut. Tepat dengan citarasaku yang gemarkan makanan laut. Hatiku tersentuh, sekurang-kurangnya Hafizi masih mengingati makanan kegemaranku walaupun kami tidak lagi semesra dulu.
“Jom, turun. Abang nak jamu Ain makan sepuas-puasnya hari ni.” senyuman manis dihadiahkan padaku. sudah lama aku tidak melihat senyuman darinya, ‘kenapa dia pelik hari ni?’ bisik hatiku.
Aku terus membukakan pintu kereta. Melangkah keluar mengikuti Hafizi ke dalam restoran itu.
Hafizi memilih tempat duduk yang agak ke belakang sedikit. Dia yang memilih makanan untukku, sama seperti masa kami bercinta dahulu.
“Macam mana pelajaran Ain? Dah lama abang tak ambil tahu kan?” Hafizi memulakan bicara.
“Ok.”
Aku makin pelik dengan tingkah Hafizi sekarang. Dia tak pernah ambil tahu tentang pelajaran aku sejak tiga minggu yang lalu. Sekarang ini, sibuk pula dia bertanya.
“Next week cuti kan sampai hari selasa? “
“Erm” aku mengangguk
“Ain sakit mulut ke? tak boleh cakap banyak dengan abang?” dia gelak.
“Hah? Tak.” Aku menggeleng.
“Ain marahkan abang?” tanya Hafizi lagi.
Dia menggenggam jemariku di atas meja.
“Erm, abang minta maaf kalau Ain ada terasa hati dengan abang. Abang tak bermaksud nak lukakan hati Ain. Maafkan abang, ya?”
Aku diam. Menarik tanganku dari genggamannya kerana pelayan datang menghantar makanan. Segan aku diperlakukan sebegitu di hadapan orang meskipun hubungan kami halal.
Sebaik pelayan itu berlalu, Hafizi tersenyum ke arahku.
“Tak hilang lagi perasaan malu? Dah dua tahun lebih kita kahwin, Ain. Tak salah abang pegang tangan isteri abang.”
“Memanglah tak salah. Tapi tak perlulah nak tunjuk kat orang, malu tau tak.”
“Ok, ok. Makan dulu. Lepas ni kita bertekak.”
Aku memandangnya. Geram. Hafizi tidak mengendahkan pandanganku malah dengan selamba menjamah makanan di atas meja.
__________________________
Setelah menjamu selera, kami bergerak ke kereta. Hafizi tidak terus memandu sebaliknya memandangku. Lama.
“Abang ni kenapa?” aku semakin hairan dengan tingkahnya.
“Abang rindukan Ain.” Ucapnya.
Aku mengerutkan dahi.
“Abang tahu abang dah abaikan Ain selama hampir tiga minggu. Abang minta maaf, abang mengaku salah abang. Ain maafkan abang?” dia meletakkan tanggannya dia atas tanganku.
Aku mengeluh. “Kenapa?” hanya itu yang keluar dari bibirku.
“Entahlah. Fikiran abang bercelaru sejak akhir-akhir ni. sampaikan abang lupa yang abang dah lukakan Ain dalam diam. I’m sorry sayang. Abang tak berniat macam tu.” tambahnya lagi.
“Abang tak nak bagitahu Ain, kenapa?” soalku lagi.
Dia menggeleng.
“Ain tak perlu tahu. Semuanya dah selesai. Ain tumpukan perhatian pada pelajaran Ain. Itu yang penting.”
“Abang tak marah sebab Ain tak ikut cakap abang?”
“Tak, bukan sebab tu sayang. Abang sentiasa sokong Ain.”
Aku mengenggam jemarinya.
“Terima kasih, bang.”
“Tak malu pegang tangan abang?” soalnya mengejekku.
“Abang!!” aku melepaskan genggaman tanganku dan terus memukul manja bahunya.
Dia tergelak melihat responku.
____________________
“Esok kita balik kampong, Ain.” Hafizi memberitahuku sebaik aku mengambil tempat di sebelahnya di atas katil.
Aku agak terkejut mendengar Hafizi berkata begitu. Tiba-tiba sahaja nak balik kampong, dan dia memberitahuku lewat malam. Sedangkan sebelum ini, kalau mahu pulang mesti kami berbincang lebih awal.
“Esok nak balik, malam ni baru abang bagitahu Ain?” aku memandangnya. Menunggu jawapan darinya. Namun, dia diam. Tahu dia bersalah. Selalunya Hafizi lebih senang berdiam diri jika kesalahan berpunca darinya.
“Kampung abang ke kampong Ain? Kenapa tiba-tiba nak balik kampong?”
“Kampung abang. Abang pun baru tahu petang tadi. Mama suruh kita balik, sepupu abang kahwin.”
“Takkan abang tak tahu sepupu abang sendiri nak kahwin?”
“Abang tahu, tapi abang ingat abang tak nak balik. Nak tunggu nanti majlis sebelah sepupu abang tu, baru abang nak balik. Tapi mama paksa juga suruh abang balik.”
“Mama suruh abang, bukan suruh Ain balik.” Aku berkata perlahan.
Aku tahu, sejak di awal perkahwinan ibu mertuaku tidak sukakan aku. Apa yang aku tahu, dia mahu jodohkan anak lelaki bongsunya ini dengan anak teman rapatnya. Namun, kehadiranku membuatkan semua perancangannya gagal. Hafizi jatuh cinta denganku. Dan aku jua mencintainya. Dek kerana cinta itulah, aku sanggup berkahwin dengan Hafizi. Aku yakin dengan cinta Hafizi walaupu orang tuaku meminta supaya aku menghabiskan dahulu pelajaran sebelum berumah tangga. Di pihak Hafizi pula, ibubapanya menerima aku dalam terpaksa kerana Hafizi tetap berkeras akan berkahwin denganku walau macam mana keadaan sekalipun.
“Kenapa Ain cakap macam tu. Samalah tu. Kalau abang balik, Ain pun kena ikut abang. Ain kan isteri abang.”
“Abang baliklah seorang. Tak apa bang. Ain tak kisah tinggal sorang-sorang kat sini. Tak pun, Ain boleh balik kampus.”
“Nope. Kan cuti sampai selasa. Kita balik esok, hari Isnin kita datang sini semula. Ain pun kena balik juga. Abang tak nak balik sorang.”
Aku mengeluh mendengar nada suaranya. Aku tahu bila nadanya sebegitu, aku tidak mampu menolak melainkan mengikut sahaja kehendaknya.
“Abang tak faham perasaan Ain.” Aku masih mencuba supaya tidak perlu mengikutnya balik ke kampong.
“Abang faham. Tapi kalau Ain semakin menjauhkan diri dari keluarga abang, macam mana mereka nak kenal Ain dengan lebih rapat? Abang sentiasa ada di sisi Ain. Abaikan apa kata orang. Yang penting kita bahagia.”
“Sebab ini ke, hari ni abang lain sikit? Tiga minggu sebelum ni, hubungan kita makin jauh. Hari ni, abang macam abang yang Ain kenal lapan tahun dulu. Sebab abang nak Ain ikut abang balik rumah mama abang, abang berubah hari ni?” aku memberanikan diri menyoal tentang tingkah lakunya yang berbeza sejak tiga minggu lalu.
“Tak. Abang dah mengaku salah abang sepanjang tempoh tu. Abang tak berniat…”
“Jadi apa yang buat abang berubah sepanjang tiga minggu lalu? Ain nak tahu kenapa,bang.” Akhirnya soalan yang telah lama bermain di midaku terhambur keluar.
“Abang minta maaf. Ain tak perlu tahu. Abang tak mampu untuk berterus terang. Maafkan abang.” Ucapnya.
“Abang tahu tak, selama tiga minggu abang tak hiraukan Ain. Ain dah habis fikir di mana silap Ain, sampai Ain rasa hubungan kita akan berakhir tak lama lagi. Hari ini, abang minta maaf dari Ain. Esok abang nak Ain ikut abang balik rumah mama. Ain rasa macam diri Ain dipermainkan. Ain bukan nak dengar ucapan maaf dari abang. Ain cuma inginkan penjelasan. Kenapa abang banyak sangat berubah?” air mataku menitis bila mengingati kembali saat itu.
Selama tiga minggu aku rasa terasing. Di rumah suami, bagaikan orang gaji. Langsung tiada sapaan mesra. Hanya sepi yang menemaniku. Bila aku mengajaknya berbual, penghujungnya ada sahaja yang tidak kena. Jadi, lebih baik aku mengikut rentaknya. Diam.
“Abang minta maaf. Ain lupakan yang telah berlaku, abang betul-betul menyesal kerana buat Ain kecewa. Abang buntu masa tu. fikiran abang bercelaru. Maafkan abang, sayang.” Dia menarikku ke dalam pelukannya.
“Ain sedih bang. Ain rasa tak dihargai sebagai seorang isteri. Apa salahnya abang berkongsi masalah abang dengan Ain. Tak layakkah Ain? Apa guna Ain jadi isteri abang kalau waktu abang buntu Ain tak dapat tolong abang.”
“Sekarang masalah abang dah selesai. Ain jangan bimbang. Abang takkan buat macam tu lagi. Lain kali, abang akan berkongsi segala-galanya dengan Ain. Ok sayang?”
Dia menyapu air mata di pipiku. Lalu mengucup dahiku. Aku mengangguk.
“Dah, Ain tidurlah. Esok nak jalan jauh. Abang tak nak Ain penat.”
Aku memeluk lengannya. “Abang yang drive. Ain kat sebelah je.”
Dia tersenyum lalu memelukku erat.
Oh Tuhan, janganlah kau akhiri kebahagiaan ini. Aku mahu selamanya dia disisiku.
_________________________
Ketika sampai di depan rumah mertuaku, aku berat hati untuk melangkah keluar. Aku tahu sejauh mana layanan mereka terhadapku. Hanya kakak dan abang sulung Hafizi yang mesra denganku. Sekurang-kurang aku masih di terima dalam keluarga ini walaupun bukan sepenuhnya.
“Jom, Ain ada abang. Don’t worry.” Ujar Hafizi lalu membuka pintu kereta. Aku turut membukakan pintu dan melangkah mengikutinya.
“Oh, dah sampai pun orang jauh.” Suara mama dari muka pintu menyambutku.
“Assalamualaikum, mama.” Ujar Hafizi lalu bersalaman dengan ibunya. Aku tersenyum ke arah mama namun seperti biasa, dia hanya memandangku tanpa perasaan. Aku menghulurkan tangan untuk bersalaman tetapi mama cepat-cepat menarik Hafizi masuk ke dalam rumah. Aku sedikit terguris. Sebab itulah aku tak mahu ikut Hafizi pulang ke kampungnya. Aku sudah lama bersabar dan aku merasakan kesabaranku semakin menipis.
“mama, Fizi nak ambil beg baju dulu kat dalam kereta. Ain, masuklah. Ikut mama. Biar abang ambil beg kita.”
Aku mengangguk. Terasa diri seperti orang asing walaupun aku berada di rumah mertua sendiri.
“Eh, Ain. Masuklah.” Suara kakak Hafizi, yang aku panggil kaklong kedengaran. Dia keluar dari dapur menyambutku. Mungkin tahu perasaanku yang gementar bila berhadapan dengan ibunya. Aku menghulurkan tangan bersalaman dengannya.
“Apa khabar kaklong?”
“Sihat. Fizi ambil beg ke? berapa lama kamu berdua di sini?” soalnya.
“Fizi cakap, lepas rombongan esok, dia nak balik terus. Ain ikut aje, kaklong.”
“Hah! Eloklah tu, balik rumah orang tua macam orang asing. Sekejap je dah nak balik KL. Kenapa? Tak selesa duduk sini lama-lama Ain?” soalan dari mama.
“Bukan mama. Ain tak kisah, Fizi yang nak balik esok. Lagipun hari rabu Ain dah start kuliah balik. Cuti sampai selasa je.” Ujarku perlahan.
“Ni yang susah kalau waktu belajar dah nak kahwin. Nak cuti lama pun tak boleh.” Mama terus berlalu ke dapur.
Aku menggigit bibir.
“Ermm, Ain sabarlah. Mama memang macam tu. Dia sedih tu sebab Fizi jarang-jarang balik kot.” Kaklong cuba menenangkan hatiku.
“Ain tak kisah kalau Fizi nak sambung cuti. Ain boleh balik KL dengan bas, kaklong.” Aku tersenyum.
“Ishk, ada pulak macam tu. dah datang berdua, balik pun berdua la. Jangan ambil hati dengan kata-kata mama tu.”
Aku mengangguk. Melihat Hafizi membawa beg pakaian kami ke dalam bilik tidur.
“Ain pergilah masuk bilik. Berehat. kaklong nak masak sikit. Nanti kita makan sama-sama.”
“Tak apalah kaklong. Ain tukar baju sekejap, nanti Ain tolong kaklong kat dapur, ya?”
“Tak payahlah. Kamu tu penat, baru je sampai. Dah. Pergi berehat.”
Aku tersenyum. “Terima kasih, kaklong.” Aku melangkah ke bilik.
Aku lihat Hafizi sedang berbaring di atas katil. Mesti nak tidur ni. penat sangat agaknya memandu dari KL ke Perak. Bukan jauh sangat pun.
“Abang nak tidur sekejap. Penat. Jom temankan abang tidur.” Ajak Hafizi.
“Ain nak tolong kaklong kat dapur la. Bila lagi nak bermesra dengan mama kan kalau bukan sekarang?” aku menyoal Hafizi sinis.
“Eloklah tu, semoga kepulangan kita kali ini boleh mengeratkan hubungan silaturrahim antara mama dengan Ain.” Hafizi tersengih memandangku.
Aku tidak dapat menahan dari ketawa ketika mendengar kata-katanya. Lantas aku mencubit bahunya.
“Suka kenakan Ain! Tak baik tau, bang.”
“Betullah tu.”
“Malaslah layan abang ni. Baik Ain tukar baju dan keluar tolong diaorang kat dapur. Abang tahu makan aje.”
“Dah kerja orang perempuan…”
“Alaaa, cakap je la abang pemalas. Bagi alasan pulak.”
“Yang malas ni lah yang Ain sayang. Kan?” Hafizi mengenyitkan mata.
“Iyelah tu. abang, jomlah ke dapur temankan Ain.” Ajakku.
“Aik? Tadi kata nak bermesra dengan mama, takkan abang nak kacau. Ain je la yang pergi.”
“Ala bang, Ain takutlah. Nanti apa Ain nak jawab kalau mama serang Ain dengan soalan maut dia tu. pastu kalau dia perli atau sindir Ain, siapa nak tolong back up kalau abang tak ada…” aku bersuara dengan nada sedih.
“Sayang buat tak tahu je lah, bukan baru kenal mama tu. Memang perangai dia macam tu, tapi hati dia baik. Percayalah cakap abang ni. Ain pergilah.”
“Abang taknak keluar?”
“Ain pergi dulu, kejap lagi abang keluar. Abang nak rehat sekejap. Boleh?”
Aku mengangguk.
“Erm, tak apalah. Abang rehat. Kesian abang.”
“Good girl, saaaayang Ain tau.”
______________________________
Aku membantu kaklong sekadar yang termampu. Mama turut berada di dapur ketika itu. Dan seperti biasa, kewujudanku tidak dihiraukan. Aku telah menjadi menantunya selama dua tahun setengah tetapi layanannya terhadapku tak pernah berubah walau sedikit. Kehadiranku dalam keluarganya seakan tidak disedari.
Sikap papa pula berlainan. Papa menerimaku seadanya walaupun pada awalnya, papa juga tidak bersetuju kerana ketika itu usiaku baru 19 tahun. Baru melanjutkan pelajaran peringkat ijazah. Manakala Hafizi pula, baru bekerja selama tiga bulan selepas menamatkan pengajian di peringkat ijazah. Ketika itu Hafizi berusia 23 tahun. Kata papa, kami berdua terlalu muda untuk hidup sebagai suami isteri. Tetapi, atas desakan Hafizi yang mahu berkahwin denganku membuatkan papa hanya menurut sahaja. Namun, lama-kelamaan sikap papa berubah dan aku dilayan sama seperti menantunya yang lain. Malah, papa turut menyokong apabila aku suarakan hasrat mahu melanjutkan pelajaran.
Setelah makanan siap dihidangkan, kami semua duduk semeja. Aku, Hafizi, mama, papa,kaklong dan anaknya, Murni.
“Abanglong tak balik ke kaklong?” tanya Hafizi.
“Dia balik kampong dia sebab sepupu dia pun kahwin. So, balik kampong masing-masinglah.”
Hafizi ketawa mendengar jawapan dari kaklong.
“Boleh pulak macam tu.”
“Kenapa pulak tak boleh. Sekali sekala berpisah, boleh belajar rasa rindu tau.” Jawab kaklong.
Aku tersenyum. Menghulurkan pinggan nasi kepada Hafizi.
“Kamu cuti berapa lama, Fizi?” mama mula bertanya.
“Fizi ingat esok nak balik terus lepas rombongan tu.”
“Kenapa awal sangat? Kamu tak boleh cuti panjang sikit ke? Cuti kan sampai selasa, kamu ambillah cuti hari rabu sampai jumaat. Duduk sini lama sikit. Lagipun dah lama kamu tak balik.”
“Tak bolehlah mama, lagipun Ain ada kelas hari rabu tu.” jawab Hafizi.
“Hah! Inilah yang mama suruh fikir banyak kali. Tak habis belajar dah nak kahwin. Sekarang siapa susah? Nak cuti lama sikit pun tak boleh.” Mama mula membebel.
“Mama, Ain tak kisah kalau Fizi cuti panjang. Ain boleh balik dengan bas.” Aku bersuara tanpa memandang wajah Hafizi.
“Hah, elok lah tu. kamu ambil cuti lama sikit Fizi. Biar dia balik dulu.” Ujar mama.
Mama, nama aku pun tidak mahu disebutnya. Benci sangatkah dia padaku sedangkan aku tidak bersalah apa-apa padanya.
“kenapa pulak macam tu Ain?” Hafizi bertanya padaku.
“Tak apa, abang duduk la lama sikit kat sini. Ain boleh balik dulu. Ain tak kisah, bang. Lagipun betul cakap mama tu, dah lama abang tak balik, kan? Tinggal lah lama sikit kat sini.”
Hafizi menyepak kakiku di bawah meja. Aku tahu isyarat itu supaya aku diam. Tetapi sebolehnya aku tidak mahu mama menganggap akulah punca Hafizi tidak dapat tinggal lama di kampong dan mengawal segala tindakan suamiku. Aku bukan sebegitu, aku telah berkorban segala-galanya demi Hafizi. Aku sanggup mengenepikan perasaan orang tuaku dan sanggup menanggung risiko berkahwin ketika masih belajar. Cuma aku bertuah kerana akhirnya, orang tuaku restui pilihan hatiku walaupun berat hati untuk menerima Hafizi pada awalnya.
“mama, Fizi banyak kerja kat pejabat.nanti bila dah selesai semua Fizi cubalah ambil cuti lama sikit.”
“Awak ni pun, Maz. Budak tu tengah sibuk. Kalau rasa nak duduk lama-lama dengan Fizi, apa kata awak ikut budak berdua ni pergi KL. Kan senang macam tu. awak bukannya kerja. Diaorang ada tanggungjawab masing-masing.” Papa mencelah.
“Ha ah. Betul cakap papa tu mama. Mama ikut Fizi pergi KL pun ok, kan Ain?” ujar Hafizi.
“Ain ok je mama.” Aku tersenyum ke arah mama. Tetapi mama tetap bermasam muka denganku.
“Tak payah. Dah. Kalau korang nak balik esok, baliklah. Mama tak nak kata apa-apa lagi dah.”
“Makanlah. Tak elok berbual banyak-banyak depan rezeki.” Kata papa.
Kami terus diam. Yang kedengaran hanya suara Murni .Sesekali meminta lauk dan air. Hafizi menjeling ke arahku. Mungkin tidak senang dengan jawapanku tadi yang menyokong kata-kata mama supaya dia terus menyambung cuti dan tinggal lebih lama di kampong.
_________________
Aku terjaga dari tidur. Namun Hafizi tiada disisiku. Aku beranggapan mungkin dia ke dapur untuk minum seperti biasa. Aku melihat pintu bilik sedikit terbuka. Aku bangun dan melangkah untuk keluar menemani Hafizi di dapur, tetapi langkahku mati di muka pintu bilik.
“Mama tak kira. Fizi dah lupa janji Fizi pada mama?” ujar mama. Hatiku terdetik ingin mengetahui perbualan dua beranak itu.
‘Apa yang suamiku berjanji dengan mama?’
“Tak, tapi Fizi tak boleh mama. Fizi dah berfikir dan Fizi tahu Fizi tak mampu untuk melukai hati Ain. Fizi betul-betul cintakan Ain, mama. Tolonglah faham perasaan Fizi ni, mama.” Aku lihat Hafizi memgang tangan mamanya.
“Habis macam mana dengan perasaan mama? Mama nak tengok anak mama bersanding dengan Intan. Itu impian mama sejak dulu.” Kata mama tegas.
Tanpa sedar, air mataku mengalir. Aku lemah. Tetapi aku kuatkan hati supaya terus bertahan untuk mengetahui dan mendengar jawapan daripada suamiku sendiri.
“Fizi minta maaf mama. Fizi tak nak madukan Ain. Please, mama. Jangan seksa hidup Fizi. Jangan musnahkan kebahagiaan yang Fizi kecapi sekarang.”
Aku tenang setelah medengar jawapan dari Hafizi. Tetapi aku tahu kudrat suamiku. Lambat laun dia akan mengalah dengan kehendak mama kerana dia telah berjanji. Hafizi bukan seorang yang mungkir setelah berjanji. Seperti mana dia telah berjanji untuk memperisterikan aku, dia telah tunaikan walaupun ketika itu ramai yang menentang kehendaknya.
“Fizi ingatkan, dulu sebelum kahwin dengan dia Fizi telah berjanji dengan mama?” Hafizi mengeluh sambil mengangguk.
“Fizi ingat tapi Fizi tak mampu tunaikan.”
“Fizi dah berjanji dengan mama kan? Fizi takkan mungkiri janji itu. Apa yang Fizi janjikan dulu?” tanya mama lagi.
“Terima Intan setelah Ain menjadi isteri Fizi.” Suara Hafizi perlahan.
Aku tersentak. Itukah janji Hafizi dengan mamanya? Bagaimana dengan kehidupanku selepas ini? Akan dimadukankah? Ya Allah, hebatnya dugaan-Mu.
“Jadi sekarang mama minta Fizi tunaikan janji itu. Fizi dah beritahu dia pasal hal ni?”
Inikah masalah yang menganggu kehidupan kami tiga minggu lalu? Hafizi seakan-akan tidak mempedulikanku, dan dia langsung tidak memberitahuku masalah yang dihadapinya ketika itu. Mungkin inilah yang dia sembunyikan dariku.
Hafizi menggeleng. “Fizi tak sampai hati, mama.”
“Kalau macam tu, biar mama yang bagitahu.”
“Jangan mama. Biar Fizi sendiri yang beritahu Ain. Please, bagi Fizi masa.”
Aku menutup pintu bilik. Lantas menguncinya dari dalam. Aku tahu, mereka pasti terkejut dan tidak menyangka yang aku boleh terdengar perbualan mereka berdua. Aku bersandar di balik pintu dan terus menangis. Hanya air mata yang mengalir. Hatiku remuk. Sanggup Hafizi mempermainkan cinta aku padanya. Aku seikhlas hati menerimanya dan dia tergamak mengadaikan cintaku. Aku tidak sanggup bermadu. Aku tidak rela berkongsi kasih. Aku tidak tamak tapi bila perlu berkongsi Hafizi dengan perempuan lain, aku jadi tamak. Aku tidak mahu sesiapa dalam hidup kami.
Hafizi mengetuk pintu dari luar sambil memanggil namaku. Aku pula langsung tidak menyahut panggilannya.
“Ain!! Buka pintu ni Ain. Ain…Ain… dengar dulu penjelasan abang ni. buka pintu, Ain.”
Aku masih lagi diam. Tidak bergerak dari situ. Aku sangat lemah. Terasa kepalaku sakit. Badanku terasa sangat penat. Sebolehnya aku mahu tidur, dan apabila aku bangun pagi esok, aku harap semuanya hanya mimpi. Aku tidak mampu menanggung dugaan sehebat ini. Aku jua manusia biasa yang kadangkala tidak mampu untuk menerima takdir yang telah tercipta untukku. Aku lemah. Aku kalah hari ini. Aku tidak berjaya melawan perasaan supaya tabah menghadapi ujian dari-Nya.
“Ain… jangan sampai abang gunakan kunci pendua. Buka pintu ni, Ain.”
Semakin lama, aku rasa suara Hafizi semakin jauh. Aku semakin lemah. Aku menutup mata, aku mahu melupakan segala-galanya yang telah terjadi.
____________________
Aku rasakan terlalu lama aku tidur tanpa sebarang gangguan. Apabila aku membuka mataku perlahan, aku terasa seperti ada jarum yang mencucuk tanganku. Aku bergerak untuk mengalihkan jarum itu.
“Ain… Ain dah sedar?”
Suara yang sangat aku kenal. Dan suara inilah yang aku dambakan sebelum aku membuka mata. Air mata bergenang di tubir mata. Betapa risaunya riak wajah Hafizi saat melihatku. Suamiku, kenapa sehebat ini dugaan untukku setelah aku memilikimu?
“Ain, syukurlah Ain dah sedar. Semalaman Ain tak sedarkan diri. Abang risau, sayang.” Hafizi mengucup dahi sambil membelai rambutku.
Aku mengalihkan tangannya yang berada di atas kepalaku. Aku cuba bangun. Aku tahu aku akan lemah sekiranya aku terus berbaring. Hafizi pula melarangku dari bangun dan memintaku supaya berehat.
“Ain jangan banyak bergerak. Ain lemah lagi ni. Ain nak apa-apa ke?” aku tidak menjawab soalannya. Kembali berbaring dan aku mengalihkan pandanganku kea rah lain. Tidak mahu terus memandang Hafizi.
“Ain, maafkan abang. Abang tak ada niat macam tu. Ain kena percayakan abang, sayang.” Pujuk Hafizi.
“Ain jangan macam ni. Tak elok untuk baby kita.”
“Hah !! Baby?” soalku hairan.
“Ha ah. Ain tahu tak, Ain akan jadi mama tak lama lagi. Abang gembira sangat. Thanks sayang.” Dia mengucup tanganku.
Air mataku mengalir. Oh Tuhan, di saat aku akan kehilangan Hafizi, Kau telah menggantikan seseorang untukku. Terima kasih ya Allah. Sesungguhnya aku sendiri tidak menyedari bahawa aku sekarang sedang mengandung. Tiada sebarang petanda. Kitaran haidku sememangnya tidak menentu. Tiada sebarang alahan yang aku alami setakat ini.
“Ain, jangan menangis lagi. Abang kan ada di sini. Please…”
“Abang… Ain takut.” Ucapku perlahan.
“Ain takut apa sayang? Jangan fikir yang bukan-bukan, Ain sekarang kat hospital, Ain tak sihat lagi ni. Ain berehat ya?” Hafizi menggenggam jemariku.
Aku menggeleng kepala.
“Ain takut kehilangan abang. Abang, Ain tak nak kehilangan abang. Macam mana kalau abang kena…”
“Dah, abang takkan tinggalkan Ain.” Dia menutup mulutku.
Aku menangis lagi.
“Ain cintakan abang sepenuh hati Ain. Ain sanggup korbankan segala-galanya untuk abang. Ain sanggup buat apa sahaja untuk abang. Kalau itu permintaan mama, Ain sanggup mengundur diri, bang. Ain boleh lakukan apa sahaja untuk abang tapi bukan berkongsi abang dengan wanita lain. Ain tak sanggup. Ain pilih kecewa sekarang daripada terus hidup dengan makan hati kemudian hari.”
“Apa Ain cakap ni? abang takkan kahwin dengan perempuan itu” tegasnya
“Tapi Ain tahu, kali ni abang tak mampu tolak kehendak mama, kan?”
Hafizi mengeluh. “Ain rehatlah. Kita bincang hal ni bila Ain dah sembuh.”
Aku terus diam selepas itu. Aku tahu, Hafizi tidak senang apabila di ajak berbual tentang gadis pilihan mamanya.
______________________________
Aku kembali meneruskan kehidupan sebagai pelajar seperti biasa. Aku ditahan di wad selama dua hari. Kami terus pulang ke Kuala Lumpur sebaik aku dibenarkan keluar. Hafizi langsung tidak membawaku berjumpa mamanya terlebih dahulu. Cuma papa dan adik beradik Hafizi yang lain datang menjengukku. Mama langsung tidak kelihatan.
Suatu petang, aku mendapat panggilan dari mama Hafizi. Permintaan yang amat berat untukku tunaikan.
“Mama dah berkorban untuk Hafizi dan sekarang mama nak kamu pula berkorban untuk mama. Mama nak tengok anak lelaki mama bersanding dengan Intan. Dia tak akan terima Intan selagi Ain jadi isteri dia. Kamu dah mengandungkan? Apa lagi yang kamu mahu dari Hafizi?”
“Mama, Ain minta maaf. Ain tak…”
“Kamu kena tinggalkan Hafizi.”
“Bagi Ain masa, mama.”
“Sampai bila?”
“Ain akan konvo tak lama lagi. Selepas itu, Ain akan ikut arahan mama. Please, Ain nak berkongsi hari itu dengan Fizi, mama. Tolonglah mama…” aku merayu.
“Baik, mama setuju tapi pastikan selepas itu, kamu sudah tidak muncul di depan Hafizi lagi.”
Tidak sempat aku menjawab, mama terus mematikan talian. Aku tidak tahu ke mana arahku selepas itu. Bagaimana kehidupanku tanpa Hafizi di sisi? Mampukah aku tinggalkan Hafizi sedangkan saat ini aku mengandungkan anaknya. Bolehkah aku membesarkan anak ini tanpa kasih seorang ayah? Pelbagai persoalan muncul di minda seiring dengan air mata yang terus mengalir tanpa henti.
____________________________
Hari yang kunantikan akhirnya tiba jua. Aku gembira kerana akhirnya aku berjaya menggenggam segulung ijazah. Terasa penat lelahku selama ini berbaloi. Jauh di sudut hati, aku jua turut bersedih. Kerana aku tahu, masa untuk bersama Hafizi semakin sedikit. Bila-bila masa aku terpaksa tinggalkan suamiku. Itulah janjiku pada mama.
Kami bergambar bersama. Pelbagai gaya yang melucukan. Mungkin inilah kenangan terakhirku bersama Hafizi. Aku cuba lupakan apa yang bakal terjadi selepas ini kerana aku mahu menghargai saat-saat indah ini.
Setelah tamat majlis, aku pulang ke rumah Hafizi. Di situlah tempat tinggalku sejak habis belajar sementara menanti panggilan temuduga. Kami bahagia. Hafizi melayanku bagai seorang puteri. Dia yang selalu mengurut badan dan kakiku pada waktu malam. Selalu mengusap perutku dan berbual-bual dengan anaknya sebelum tidur.
“Anak papa, jangan nakal-nakal. Kesian mama, penat.”
Itulah yang selalu keluar dari bibir Hafizi saat dia menyentuh perutku yang semakin hari semakin membesar.
Pagi itu, setelah Hafizi keluar ke pejabat, aku menulis surat untuk aku tinggalkan kepada Hafizi. Mungkin esok aku akan keluar dari rumah ini ketika Hafizi keluar bekerja.
Assalamualaikum, abang…
Saat abang membaca surat ini, Ain mungkin telah di Kuala Lumpur. Ain minta maaf kerana membelakangkan dan membuat keputusan sendiri tanpa berbincang terlebih dahulu dengan abang. Ain akan pergi jauh dari abang. Ain minta, abang tunaikanlah permintaan mama. Ain tahu selagi Ain di sisi abang, abang takkan terima Intan kerana abang tidak sanggup mengecewakan Ain. Terima kasih di atas kasih sayang abang itu. Ain hargai. Sekarang, Ain akan pergi jauh dari abang. Abang jangan risaukan Ain. Ain akan jaga diri Ain sebaik mungkin dan Ain akan didik anak kita seperti yang abang mahukan. Ain minta maaf kerana terpaksa melukakan hati abang. Tapi Ain tahu, inilah yang terbaik buat kita. Ain taknak abang tersepit antara Ain dan mama. Syurga seorang anak lelaki di tapak kaki ibunya. Ain taknak abang jadi anak derhaka kerana Ain. Abang tak perlulah mencari Ain. Ain akan datang pada abang untuk mengetahui kedudukan Ain di sisi abang suatu masa nanti. Saat itu, Ain terima apa sahaja keputusan dari abang. Terima kasih kerana membahagiakan Ain. Maafkan Ain dan redhalah kepergian Ain kali ini. Doakan Ain dan anak kita. Ain sentiasa akan doakan kebahagiaan abang.
Isterimu- Ain
Aku melipat surat itu dan menyimpannya di dalam almari. Bimbang jika Hafizi terbaca.
_____________________
Seperti yang aku rancangkan. Aku berkemas sebaik sahaja Hafizi melangkah keluar dari rumah. Sedih, pilu. Tidak dapat digambarkan perasaaku ketika ini. Air matalah penemanku sewaktu aku melipat pakaian yang akan kubawa bersama. Aku turut mengambil gambar yang terletak di sudut tepi katil. Bagiku, gambar itu amat bermakna. Bukan gambar ketika majlis perkahwinan atau bulan madu. Itulah gambar pertama aku bersama Hafizi. Ketika zaman persekolahan. Masing-masing dengan pakaian seragam sekolah.
Berat hatiku melepaskan Hafizi ke pejabat sebentar tadi. Masih terngiang-ngiang pesanannya padaku.
“Ain jangan buat kerja berat. Sekarang ni abang tengok Ain tak bermaya aje. Tak baik untuk Ain dan baby kita.”
“Mungkin Ain letih, bang.” Ucapku sembunyikan rasa hati. Terasa seperti ingin menangis saat itu.
Dia menghulurkan tangan. Aku mencium tangannya seperti biasa. Dia mengucup dahiku. Rutin harian sebelum Hiafizi ke pejabat. Tetapi kali ini, aku meminta sesuatu darinya.
“Boleh abang peluk Ain hari ni?” aku menyoal.
Hafizi ketawa. “Setiap malam abang peluk Ain, nak peluk lagi.”
“Abang ni.. Tak apalah abang taknak peluk Ain. Ain nak peluk abang.” Lantas aku memeluknya sebelum sempat dia memelukku.
Dia ketawa dengan gelagatku.
“Nak bermanja ke ni? Abang nak pergi kerja sayang. Tunggu abang balik ya?” dia mencuit hidung.
“Ermm.. Ain sayang abang. Kalau Ain tak ada nanti, abang jangan bersedih tau. Kita tidak mampu melawan takdir. Abang kena terima segala ketentuan dari-Nya.”
“Ain, kenapa cakap macam ni? Ain sakit?” Hafizi panic.
Aku pula ketawakan dia.
“Taklah. Abang ni cepat paniklah. Ain saja nak test abang. Tapi betul cakap Ain. Kita tak mampu menolak takdir, kan?”
“Ermm, Ain nak abang ambil cuti ke hari ni?”
“Eh, taklah. Mana ada. Abang pergi kerja. Drive carefully. I love you, abang.” Aku mengucup pipinya.
“Ain pelik hari ni. tapi abang suka dengan perubahan Ain. Rasa diri abang di manja.” Dia mengenyit mata sebelum melangkah keluar dari rumah.
Kenangan pagi ini tak mungkin ku lupakan sehinggan akhir hayat. Kenangan kali terakhir aku melihat wajah Hafizi.
_______________________
Tiga bulan selepas itu, aku selamat melahirkan seorang bayi perempuan. Aku namakannya Nur Atikah Balqis bt Hafizi Luqman. Sejak aku melangkah keluar dari rumah Hafizi, aku langsung tidak mengetahui keadaannya. Aku bina hidup baru di Johor. Kebetulan ada seorang kenalanku yang menetap di sana.
Amalina. Dialah yang banyak membantuku membina semula kehidupanku. Dialah yang banyak member nasihat dan mendengar segala kisah sedihku. Kepada ibubapaku pula, setiap bulan aku akan menghubungi mereka. Tetapi sehingga hari ini, aku tidak maklumkan pada mereka tempat tinggalku.
Hari ini, aku terpaksa ke Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat. Aku mewakili cawangan syarikatku di Johor. Sebolehnya aku menolak namun, aku tetap ke sana kerana itu tugasanku. Kebetulan rakan sejawatanku ketika itu bercuti kerana bersalin. Dalam terpaksa aku pergi menjalankan tugas. Ku bawa bersama anakku dan adik Amalina, Adila kerana dialah yang menjaga anakku selama ini.
Setelah habis mesyuarat, aku kembali ke hotel yang menempatkan Adila dan anakku.
“Jom kita turun makan, Dila.”
“Akak bungkus ajalah. Dila macam malas nak turun ni. boleh?”
“Oklah. Akak turun kejap ek. Akak bawa Balqis. Akak nak pusing-pusing pasar malam kat bawah tu dulu”
Adila mengangguk.
Aku turun sambil mendukung Balqis. Sememangnya Balqis anak yang baik. Dia tidak pernah meragam. Seakan tahu hanya aku yang membesarkannya tanpa papanya. Aku berjalan perlahan sambil memerhati barangan yang di jual.
“Ain…” seseorang memanggilku dari belakang..
Aku berpaling. “Mama…”
“Ain, maafkan mama, nak. Mama berdosa pada kamu dan Hafizi. Ampunkan mama.” Mama memelukku.
Beberapa orang memerhati ke arah kami. Aku tidak senang dengan situasi ini.
“Mama, jom kita ke lobi hotel. Ain tinggal kat hotel tu sekarang. Jom.” Aku melangkah terlebih dahulu, mama mengikutku dari belakang.
Sebaik duduk, mama mengambil Balqis dari ribaanku dan terus memulakan bicaranya.
“Siapa nama cucu mama ni, Ain?”
“Nur Atikah Balqis, mama”
“Cantik namanya. Ain, Mama minta maaf atas perbuatan mama dulu. Ain kembalilah. Hafizi rindukan Ain.”
“Ain tak boleh mama. Maafkan Ain, Ain tak sanggup.” Aku mengesat air mata di pipi. Sekali lagi aku membohongi diri sendiri. Aku amat-amat memerlukan Hafizi tetapi aku tidak sanggup sekiranya aku terpaksa berkongsi Hafizi dengan Intan.
“Ain, dengar dulu. Hafizi tak berkahwin dengan Intan. Ain kembalilah pada dia. Mama tahu mama silap menilai Ain. Mama minta maaf. Tapi Ain percayalah. Hafizi benar-benar perlukan Ain sekarang. Tolong mama Ain. Kembalilah pada Hafizi.”
“Kenapa mama?”
“Hafizi kemalangan semasa hari Ain tinggalkan rumah tu. dia koma selama tiga hari. Bila dia sedar, dia cari Ain tapi Ain dah tak ada. Dia salahkan mama. Masa tu dia tak baca lagi surat yang Ain tinggalkan untuk dia, tapi dia tahu semuanya berpunca dari mama. Mama rasa bersalah sangat. Kaki dia patah dan sekarang dia lumpuh. Doctor cakap ada harapan untuk sembuh Cuma mengambil masa. Intan pula tak mahu berkahwin dengan Hafizi kerana keadaan Hafizi. Dari situ mama tahu Intan bukan yang terbaik buat Hafizi. Sekarang Hafizi banyak berdiam diri. Dia langsung tidak bercapa dengan mama. Dia cakap, dia akan bercakap dengan mama apabila mama berjaya kembalikan Ain padanya. Setiap malam mama berdoa semoga dipertemukan dengan Ain, Alhamdulillah mala mini doa mama dimakbulkan.” Mama menangis.
Kali pertama aku melihat air mata wanita yang angkuh sebelum ini ketika berhadapan denganku.
“Ya Allah, mama. Sampai macam tu?”
“Mama tak tahu nak buat macam mana. Sekarang mama menjaga Hafizi kat sini. Papa masih kat Perak. Seminggu sekali papa datang KL jenguk kami. Mama bersalah pada kamu berdua. Ain, marilah ikut mama pulang.”
“Siapa yang jaga Fizi kalau mama kat sini sekarang?”
“Kami ada pembantu. Hafizi langsung tak bercakap walau sepatah dengan mama. Kalau nak dengar suaranya, mama hanya curi-curi dengar bila papa berbual dengan Fizi. Itupun hanya sepatah dua yang dia jawab kalau papa bertanya. Tolonglah Ain. Mama merayu.” Mama menggenggam tanganku.
“Ain takut mama. Macam mana kalau Fizi marah dengan tindakan Ain dulu?”
“Tak sayang. Dia tak pernah salahkan Ain. Dia tahu Ain berkorban untuk mama. Ain, tolonglah. Mama merayu pada Ain kali ini. Jangan hampakan mama…”
Aku mengeluh. Perlukah aku mengikut saranan mama? Ya. Aku masih mencintai suamiku. Sampai saat ini, dia masih lagi suamiku. Akulah yang sepatutnya berada di sisi suamiku ketika ini bukannya pembantu upahan.
“Ain akan ikut. Tapi Ain kena naik atas dulu, bagitahu penjaga Balqis yang Ain ikut mama.”
Mama mengangguk. “Tinggalkan Balqis pada mama. Mama tunggu di sini. Terima kasih Ain.”
Aku tersenyum. Melangkah meningggalkan mama dan anakku di situ.
_____________________
Hatiku berdebar untuk berhadapan dengan Hafizi ketika ini. Balqis ketika ini berada dengan mama. Mama meminta aku masuk ke bilik yang menempatkan Hafizi. Bilik kami dahulu. Ruang tamu rumah masih tidak berubah. Sama seperti kali terakhir aku melihatnya Sembilan bulan yang lalu.
Pintu bilik kubuka perlahan. Kulihat Hafizi berbaring di atas katil. Mungkin dia tidur. Aku memberanikan diri melangkah supaya lebih dekat dengannya. Air mata mengalir saat aku memandang wajah Hafizi. Cekung. Badannya semakin kurus. Mukanya langsung tidak berseri.
Aku memegang jemarinya lalu mengucupnya.
“Maafkan Ain, abang. Maafkan Ain.” Ucapku dalam sendu.
Hafizi bergerak seakan terganggu tidurnya dengan tindakanku tadi.
“Abang….”Aku memanggilnya sekali lagi.
Hafizi membuka mata.
“Sayang…” Hafizi bergerak untuk bangun. Aku membantunya.
“Ain minta maaf, bang. Ain tak tahu akan jadi macam ni.”
Dia menarikku ke dalam pelukannya.
“Ain berdosa pada abang. Abang maafkan Ain?” soalku.
“Ain tak bersalah. Abang tahu Ain terpaksa. Abang tak pernah salahkan Ain. Mana anak kita, sayang? Abang nak tengok. Abang dah lama rindu Ain dan anak kita.”
“Ada dengan mama kat luar, Ain pergi ambil sekejap ya.” Aku meleraikan pelukan dan melangkah keluar mengambil Balqis daripada mana.
Aku kembali bersama Balqis dan meletakkan Balqis di atas riba Hafizi.
“Comel anak kita. Nama apa?” tanya Hafizi sambil memandang dan menarikku supaya dekat dengannya.
“Seperti yang abang cadangkan dulu.” Jawabku sambil senyum ke arahnya.
“Atikah Balqis?”
Aku mengangguk. “Nur Atikah Balqis binti Hafizi Luqman”
Hafizi mencium dahiku perlahan.
“Maafkan abang kerana tiada di sisi Ain semasa Ain melahirkan anak kita…” ucapnya perlahan.
“Bukan salah abang. Ain yang pergi dari abang. Maafkan Ain, bang.”
“Abang sayangkan Ain. Cintakan Ain sepenuh hati abang. Ain tahukan, sekarang abang bukan macam yang Ain tinggalkan dulu. Abang tidak mampu untuk walaupun untuk berdiri. Abang perlu bergantung pada orang. Abang takut sekiranya abang tak mampu bahagiakan Ain.”
“Abang, Ain cintakan abang. Ain terima walau macam mana keadaan abang sekalipun. Ain nak kita sama-sama besarkan Balqis. Ain yakin abang boleh sembuh. Abang kena usaha. Ain akan bantu abang. Ain tak boleh hidup tanpa abang. Cukuplah Sembilan bulan Ain hidup tanpa abang. Ain tak nak kehilangan abang lagi..”
“Abang pun tak nak kehilangan Ain. Kita saling memerlukan. Kita sama-sama didik anak-anak kita lepas ni bersama ya, sayang?”
“Anak-anak?”
Hafizi ketawa. “Kitakan dah bersama, tak mustahil Balqis dapat adik tahun depan.” Dia mengenyit mata.
“Abang ni, sakit-sakit pun sempat fikir benda lain tau. Ain kerja kat Johor sekarang, bang. Nak tak nak, lusa Ain kena balik Johor. Ain kena present apa yang dibentangkan kat mesyuarat ni”
“Ain nak tinggalkan abang lagi?”
Aku mengeluh. Susahnya untuk membuatkan suamiku ini faham.
“Tak bang. Tapi sekarang Ai nada tanggung jawab. Ain akan balik Johor sekejap, kemudian Ain cuba minta cuti dengan bos Ain. Tak pun, Ain minta ditukarkan ke cawangan syarikat kat KL ni. kita masih ada banyak masa untuk bersama, abang. Kali ni Ain janji akan kembali pada abang. Ain kena selesaikan kerja di Johor dulu.”
“Abang faham sayang. Tapi dengan syarat.”
“Apa dia?”
“Tinggalkan Balqis di sini.” Aku terkejut dengan syarat Hafizi.
“Ain tak pernah berpisah dengan Balqis, bang. Nanti Ain rindu..”
“Ermm, bukan tinggal anak pada orang lain. Pada abang, papa dia. Kalau Ain rindu, call lah. Tak kan handphone sekarang tak pakai 3g kot.”
“Tak sama tengok kat handphone dengan betul-betul.” Aku masih mencuba nasib.
“Ain boleh balik Johor. Tinggalkan Balqis dengan abang. Itu aja. Tak kan Ain tak kasihan kan abang. Dah la sekarang baru boleh tengok anak sendiri, Ain sanggup pisahkan abang dengan anak kita?”
Aku menggeleng.
“Oklah. Ain ikut cakap abang.”
“Macam ni lah isteri abang. Tidurlah. Dah lama kita bercakap.” Hafizi tunduk mencium pipi Balqis dan meletakkan Balqis di sebelahnya.
“Ermmm, ada anak kat tengah. Macam pelik pulak rasanya.”
Hafizi ketawa dengan ayat yang keluar dari bibinya. Aku melihat Hafizi memeluk Balqis. Berdosanya aku kerana memisahkan mereka berdua. Kasih Hafizi kepada Balqis melimpah-ruah. Aku bahagia kini. Dan aku seakan tidak mahu hari esok muncul kerana aku mahukan kebahagiaan yang aku rasai sekarang berterusan.
_________________________
Aku meminta untuk bertukar ke Kuala Lumpur. Setelah dua bulan, permintaanku diluluskan. Dua bulan sebelum ini, aku asyik berulang alik seminggu sekali dari Johor ke KL. Balqis ditinggalkan bersama Hafizi. Mama yang menjaga mereka berdua.
Menurut mama, Hafizi sudah bercakap dengannya walaupun tidak semesra dulu. Benarlah kata mama, Hafizi tidak pernah menyalahkan aku kerana meninggalkannya dahulu. Mama pula menerimaku seperti kehadiran menantunya yang lain. Aku cukup bahagia kini. Tiada lagi yang aku inginkan selain kebahagiaan yang aku kecapi ketika ini.
Keadaan Hafizi semakin pulih walaupun bukan sepenuhnya. Dia masih lagi menjalani rawatan susulan. Akulah yang akan menemani Hafizi jikalau ada temujanji dengan doctor.
“Sayang…menungkan apa tu?”
Suara Hafizi mengejutkan aku dari lamunan.
“Tak ada apa-apa, bang. Cuma teringat apa yang pernah berlaku dalam hidup kita.” Aku melangkah ke katil, duduk di sisi Hafizi.
“Abang bahagia sekarang. ada Ain dan Balqis. Terima kasih kerana Ain masih terima abang walaupun abang sudah tak sempurna.”
“Shhh.. jangan cakap macam tu bang. Abang akan boleh berjalan tak lama lagi. Ain yakin. Ain bahagia kerana jadi isteri abang. Ain tahu, Ain bertuah sangat kerana cinta abang hanya untuk Ain. Ain bertuah sebab jadi suri hidup abang.”
“Abang bertuah sebab dapat isteri sebaik Ain. Terima kasih sayang kerana menjadi isteri abang.”
“Ain hanya milik abang dari dulu, kini dan selamanya…”
Kadang kala, untuk menggapai kebahagiaan kita perlu berkorban. Walaupun perngorbanan itu pahit, tetapi hasilnya amat manis.
‘Ya Allah, kau limpahkanlah kebahagiaan dalam kehidupan kami. Hanya kepada-Mu aku bermohon kerana Kau Maha Mendengar dan Maha Pemurah. Titipkanlah kemesraan dalam perhubungan ini dan jauhkanlah dari sebarang malapetaka kerana sesungguhnya aku hanya insan yang lemah.’

Virtual Friends - Copyright © 2001-2014 Webber Dot My Solutions (002351632-A). All rights reserved