Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 DilaDellila • 5 years ago • 3,604 viewed


Ibu bapa perlu rujuk ke hospital jika anak mengadu sakit perut keterlaluan

MASALAH apendiks yang radang bukan saja terhad kepada orang dewasa malah kanak-kanak turut mengalaminya dan mungkin lebih teruk kerana mereka tidak pandai menceritakan kesakitan yang dihadapi.

Masalah apendik yang radang (atau istilah perubatannya appendicitis) terjadi apabila bukaan daripada apendik menuju ke tiub besar atau sekum (cecum) tersekat. Sekatan itu mungkin terjadi kerana lendir tebal dalam apendik atau serpihan najis yang keras daripada tiub besar termasuk ke apendik.

Atau mungkin, seperti kepercayaan sesetengah orang ada biji jambu atau biji cili tersekat dalam apendik. Bagaimanapun, kes seperti itu sangat jarang berlaku.

Pakar Bedah Kanak-kanak, Hospital Pusrawi Sdn Bhd, Dr Ahmad Zulkiflee Laidin, berkata di kalangan kanak-kanak, appendicitis berlaku pada usia tiga hingga 12 tahun.

Beliau berkata, walaupun bukan semua, ada juga kes appendicitis adalah masalah yang diwarisi sama ada daripada ibu atau bapa.

“Kerap kalinya punca appendicitis adalah masalah jangkitan seperti jangkitan virus daripada saluran gastro usus. Selain itu, ia boleh juga terjadi kerana sisa makanan atau serpihan najis terperangkap dalam ruang apendik.

“Apapun, kedua-dua keadaan ini menyebabkan bakteria menghuni apendik dan menjadikannya radang dan bernanah. Tanpa rawatan segera, apendik mungkin pecah,” katanya.

Dr Ahmad Zulkiflee berkata, kadar progres appendicitis di kalangan kanak-kanak sangat cepat, iaitu dalam tempoh enam hingga lapan jam selepas mengadu sakit perut, apendik boleh pecah.

“Justeru, apabila kanak-kanak mengadu sakit perut yang keterlaluan, ibu bapa perlu lebih berwaspada terutama jika dia berusia lima tahun ke bawah,” katanya.

Katanya, hampir 90 peratus kanak-kanak yang dibawa ke hospital kerana masalah appendicitis dikesan mengalami pecah apendik.

Satu daripada sebabnya, katanya adalah sangat susah untuk mengesan simptom appendicitis di kalangan kanak-kanak kerana mereka sukar untuk membuat aduan kesakitan dengan tepat.

Ada juga kes serangan appendicitis terjadi dengan perlahan. Dalam keadaan ini, usus dan lemak di sekeliling apendik akan menutupnya sebagai satu daripada benteng sistem imuniti tubuh. Ini menyebabkan rasa kesakitan yang amat sangat akan berkurangan tetapi apendik boleh menjadi bengkak.

Dr Ahmad Zulkiflee berkata, ada kes apendik yang bengkak boleh surut dengan sendiri diikuti rasa sakit yang boleh hilang dalam masa beberapa bulan. Keadaan ini dikategorikan sebagai keradangan apendik yang kronik dan masih memerlukan rawatan.

Rawatan
Appendicitis tidak dirawat dengan antibiotik seperti kebanyakan penyakit lain. Rawatannya adalah dengan membuang apendik melalui pembedahan sama ada ia sekadar radang yang menyakitkan atau sudah pecah.

Pembedahan hanya mengambil masa 20 minit hingga satu jam bergantung kepada keadaan pesakit manakala pemberian antibiotik diberi bagi mengawal jangkitan.

Mengenali apendik
Semua orang dilahirkan dengan apendik iaitu satu tiub sempit yang terletak di tiub besar (sekum) seperti cacing. Ia hanya memiliki satu bukaan. Lapisan dalaman apendik menghasilkan sejumlah kecil mukus yang mengalir ke sekum. Dinding apendik mengandungi tisu limfa sebagai sebahagian daripada sistem imun untuk menghasilkan antibodi. Seperti kolon, dinding apendik juga mengandungi lapisan otot tetapi tidak terbentuk dengan sempurna.

Bagi manusia apendik ini tidak berfungsi. Bagaimanapun, pada haiwan yang makan daun, apendik berfungsi untuk menghadam semua selulosa yang diperoleh daripada makanannya. Bagi manusia, apa yang dihadam tidak diserap atau dicerna tapi bagi haiwan pemakan daun, apendiknya besar untuk menghadam selulosa.

Saiz apendik tidak melambangkan usia. Ada juga kanak-kanak yang memiliki saiz apendik yang lebih besar daripada orang dewasa. Apendik tidak menjadi sebarang masalah selagi ia tidak menjejaskan kesihatan seperti mengalami keradangan.

INFO: Simptom apendik

Sakit perut bermula di pusat dan kemudian ke bahagian kanan abdomen

Demam dengan darjah kepanasan yang rendah

Hilang selera makan

Muntah

Cirit-birit.

Virtual Friends - Copyright © 2001-2014 Rakan Maya (PPM-0003-10-14012014). All rights reserved