Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 DilaDellila • 9 years ago • 8,218 viewed


Suasana panik dan tertekan biasa terjadi apabila melihat ada seseorang tercedera atau dalam keadaan bahaya akibat sesuatu penyakit. Keadaan itu boleh berlaku di mana-mana dan bila-bila masa. Kes mungkin berlaku di rumah, di tempat kerja, di sekolah, di jalan raya dan sebagainya.
Tahap dan jenis kecederaan yang dialami mangsa pula mungkin hanya calar-calar kecil saja. Banyak juga kes kecederaan teruk yang boleh membawa maut. Selain itu keadaan cemas melibatkan penyakit seperti lemah jantung menyebabkan maut juga sering berlaku.
Semua mangsa kemalangan atau kes kecemasan, biar apapun jenis kecederaan atau penyakit dialaminya, perlu diberi bantuan kecemasan. Bantuan kecemasan diberikan bagi memberi kelegaan kepada mangsa dan mengelak daripada tahap kecederaan menjadi bertambah teruk.




Bantuan kecemasan atau pertolongan cemas ialah bantuan awal yang diberikan kepada orang yang sakit atau mangsa kecemasan sebelum ketibaan ambulan atau pakar yang berkelayakan.
Pertolongan cemas yang biasa diperlukan oleh mangsa ialah menahan pendarahan, membalut luka, mengurangkan kesan kesakitan akibat patah tulang, memulihkan pernafasan, mengelak kesan keracunan, gigitan binatang bisa, tercekek dan melecur.
Selain disebabkan kes kemalangan, kecemasan juga melibatkan golongan yang mengidap penyakit berbahaya seperti lemah jantung, lelah, alahan dan sawan babi. Pengidap penyakit berkenaan sering berdepan dengan keadaan di mana mereka menghadapi saat kritikal yang memerlukan bantuan kecemasan. Tanpa bantuan kecemasan, terutama dalam kes berkaitan pernafasan, boleh menyebabkan mereka meninggal dunia.
Memberi pertolongan cemas memerlukan tindakan dan kaedah yang betul. Tanpa pengetahuan dan kemahiran pertolongan cemas, bantuan kecemasan yang diberikan mungkin menyebabkan kesan tidak seperti diharapkan.
Seringkali berlaku kes pengendalian pertolongan cemas yang diberikan kepada mangsa tidak sesuai dan tidak selamat. Dalam kes tertentu, bantuan yang diberikan bukan dapat melegakan penderitaan mangsa. Sebaliknya tindakan menyebabkan keadaan lebih serius.
Dalam kes tertentu, penyelamat turut menjadi mangsa. Kes seperti menyelamat turut terperangkap dalam kebakaran. Banyak kes penyelamat turut mati lemas. Kejadian itu berlaku antara lain berpunca penyelamat tidak mengetahui asas menyelamat dan pertolongan cemas.
Pengetahuan pertolongan cemas amat berguna. Pengetahuan mengikut kaedah-kaedah asas sudah memadai berbanding tiada langsung. Pertolongan cemas yang diberikan kepada mangsa mungkin dapat menyelamatkan nyawa mangsa. Satu tindakan mudah penting untuk membantu masalah berkaitan sistem pernafasan dan pendarahan.
Bantuan pernafasan yang betul penting bagi memulihkan pernafasan mangsa. Bantuan pernafasan memerlukan tindakan pantas dalam tempoh beberapa minit. Jika tiada seseorang yang tahu melakukan bantuan pernafasan di tempat kejadian, sudah terlambat untuk mendapat bantuan orang lain di tempat lain.
Justeru, pengetahuan pertolongan cemas amat penting dipelajari oleh setiap orang. Paling tidak, dalam setiap keluarga atau kumpulan mesti terdapat salah seorang daripada mereka yang mempunyai kemahiran asas dalam memberi pertolongan cemas.
Persediaan ini penting bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya kes-kes kecemasan yang berlaku di rumah atau di tempat kerja. Kes kemalangan kecil tetap perlu diberikan bantuan cemas mengikut tindakan yang betul.
Ilmu pertolongan cemas boleh dipelajari melalui latihan khas yang disediakan oleh pakar dalam bidang perubatan seperti doktor dan para medik. Selain itu, latihan sedemikian juga dikendalikan oleh organisasi dan pertubuhan untuk ahli-ahli mereka.
Antara organisasi yang melatih ahli-ahlinya pengetahuan dan kemahiran pertolongan cemas seperti Persatuan Bulan Sabit Merah, Pengakap, Jabatan Pertahanan Awam, Kadet Bomba dan St John Ambulan.
Latihan pertolongan cemas lebih sesuai dilakukan dengan menghadiri kelas. Bagi mereka tidak berkesempatan melakukan sedemikian boleh juga mempelajarinya melalui buku. Apa yang dibaca itu boleh dijadikan sebagai panduan asas apabila memberi pertolongan cemas.
Pengetahuan dan kemahiran pertolongan cemas bukan sahaja bertujuan untuk membantu orang lain. Dalam kes tertentu, pengetahuan itu penting untuk diri sendiri. Banyak kes kemalangan yang berlaku ketika tiada orang lain berhampiran.
Dalam kes sedemikian, mangsa perlu bertindak sendiri untuk menyelamatkan diri. Bantuan kecemasan dilakukan sendiri agak terhad. Namun amat berguna untuk mengelak daripada kecederaan menjadi semakin teruk. Tindakan mudah kecemasan terhadap diri sendiri mungkin satu tindakan menyelamatkan nyawa.
Justeru, mempelajari asas pertolongan cemas amat penting. Wanita yang tinggal di rumah bersama anak-anak amat perlu mengetahui asas pertolongan cemas.

Virtual Friends - Copyright © 2001-2014 Webber Dot My Solutions (002351632-A). All rights reserved