Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 DilaDellila • 9 years ago • 4,798 viewed


Institusi perkahwinan melengkapkan tabie kejadian manusia yang mana lelaki dan perempuan saling memerlukan antara satu sama lain.

Perkahwinan tidak boleh dilangsungkan dengan ambil mudah dan mengikut hawa nafsu semata-mata. Banyak syarat dan persiapan praperkahwinan perlu diambil kira sebelum melangsungkan perkahwinan.

Perkara pertama perlu diambil kira ialah jodoh sesuai dijadikan pasangan. Ikatan perkahwinan adalah perkongsian hidup dalam segenap segi sehingga ke akhir hayat. Justeru, soal memilih pasangan perlu teliti dan mengambil kira segenap aspek.

Rasulullah menggariskan empat syarat perlu diperhatikan atau dibuat penilaian dalam menentukan pilihan jodoh, iaitu kecantikan, kekayaan, keturunan dan keimanan. Sesiapa berjaya mendapat keempat-empat ciri tersebut pada pilihannya, maka dia dianggap bertuah. Jika tidak menemui pilihan mempunyai keempat-empatnya, ambillah yang terbaik tanpa meninggalkan aspek keimanan.

Dalam setiap perkahwinan wajib ada mas kahwin. Mas kahwin adalah sesuatu yang bernilai yang diberikan oleh suami kepada isteri dikira sebagai hadiah. Pemberian mas kahwin wajib disebabkan nikah yang sah ataupun bersetubuh. Mas kahwin diberikan sebagai tanda memuliakan kaum wanita.

Mas kahwin atas dasar nikah yang sah ialah pernikahan yang berterusan sah. Jadi pembayaran mas kahwin wajib disebabkan akadnya.

Sekiranya pasangan itu bercerai, walaupun sebelum bersetubuh, maka mas kahwin masih perlu dijelaskan, tetapi sekadar separuh daripada jumlah yang disebutkan ketika akad atau yang ditetapkan.

Firman Allah bermaksud: "Andainya kamu ceraikan isteri-isterimu sebelum kamu bercampur dengan mereka, pasahal sesungguhnya kamu sudah tentukan maharnya, maka byarlah satu perdua daripada mahar yang kamu tentukan." (Surah al-Baqarah, ayat 237).

Mas kahwin atas dasar bersetubuh pula ialah perkahwinan yang fasid (atas sebab tidak sah yang hanya diketahui selepas perkahwinan). Mas kahwin itu tidak wajib disebabkan akad, tetapi kerana bersetubuh. Dengan kata lain, jika perkahwinan itu rosak dan kedua-duanya belum bersetubuh, maka tidaklah wajib mas kahwin itu dijelaskan.

Perintah memberi mas kahwin dalam perkahwinan dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: "Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mas kahwin mereka sebagai pemberian dengan penuh rela. Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian dari mas kahwin itu dengan senang hati, maka makanlah (ambillah) pemberian itu yang sedap lagi baik akibatnya" (Surah an-Nisa, ayat 4).
Mas kahwin tidak ditetapkan jenisnya dan jumlah nilaian, asalkan sesuatu yang wujud dan ada nilainya. Pemberian itu hendaklah sempurna (sepenuhnya dan pada masa ditetapkan) dan diberikan secara ikhlas.

Firman Allah dalam surah an-Nisa, ayat 24 bermaksud: "Maka isteri-isteri yang telah kamu campuri antara mereka, berilah kepada mereka mas kahwin dengan sempurna sebagai sesuatu kewajipan."

Mas kahwin wajib disediakan oleh lelaki biarpun sekadar satu barang yang murah harganya. Sabda Rasulullah bermaksud: "Jadikan mas kahwin sekalipun dengan sebentuk cincin daripada besi." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Sebentuk cincin besi tentulah amat murah harganya. Tetapi itulah perintah daripada Rasulullah agar memberatkan soal mas kahwin, yang wajib disediakan walaupun dalam nilaian amat rendah. Penyerahan mas kahwin boleh dilakukan secara tunai atau hutang.

Diharamkan menggunakan sumber atau barang diperoleh secara haram sebagai mas kahwin seperti harta riba, barang dicuri, samar-samar sifatnya, dan belum wujud.

Mas kahwin boleh juga terdiri faedah daripada penggunaan sesuatu barang, nilai sewaan, mengajar al-Quran atau ilmu yang bermanfaat.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Kalau sekiranya seseorang pemuda memberi makanan sepenuh kedua tangannya saja untuk mas kahwin seseorang wanita, sesungguhnya wanita itu halal baginya." (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud).

Hakikatnya, mas kahwin adalah simbol permulaan tanggungjawab seorang suami kepada isteri. Kemudian, menyusul tanggungjawab yang lebih berat terpaksa dipikul oleh suami.

Jika mas kahwin tidak dibayar oleh pihak suami, isteri berhak tidak tergesa-gesa menyerahkan dirinya. Dari Ibnu Abbas menceritakan ketika Saidina Ali menikahi Fatimah dan bersedia untuk bersetubuh, lantas Rasulullah menegahnya sebelum dijelaskan mas kahwin (dengan diberikan sesuatu).

Saidina Ali menberitahu dia tidak mempunyai apa-apa yang boleh diserahkan. Lantas, Rasulullah bersabda: "Berikan baju perangmu itu."

Setelah Saidina Ali menyerahkannya kepada Fatimah, baru dibenarkan kedua-duanya sebagaimana lazim suami isteri. (Riwayat Abu Daud).

Antara mas kahwin dan hantaran adalah dua perkara yang berbeza. Mas kahwin adalah wajib, sedangkan hantaran adalah hadiah yang hanya harus hukumnya. Mas kahwin ditetapkan jumlahnya dan biasanya disebut ketika akad nikah. Namun, sah nikah sekiranya mas kahwin tidak disebut ketika akad nikah.

Di negara kita terdapat perbezaan maksud mas kahwin, hantaran dan belanja hangus dalam urusan perkahwinan mengikut amalan di setiap negeri. Ada yang menyebut mas kahwin dan hantaran sebagai satu.




Ada amalan di sesetengah negeri yang mana jumlah mas kahwin disebut semasa akad nikah. Biasanya jumlah itu ditetapkan oleh keluarga perempuan, contohnya RM5,000. Mas kahwin itu turut bermaksud hantaran. Jumlah ini menjadi milik pengantin perempuan sebagai mas kahwin.

Manakala hantaran ialah barang-barang yang dibawa ketika rombongan keluarga lelaki bertandang ke rumah keluarga perempuan semasa kenduri. Belanja kenduri dan persiapan perkahwinan ditanggung sepenuhnya oleh keluarga perempuan mengikut kemampuan.

Kes wanita atau keluarga wanita menetapkan jumlah mas kahwin (termasuk makna hantaran) yang tinggi bukan perkara baru. Perkara yang sama telah berlaku pada zaman pemerintahan Umar al-Khattab.

Saidina Umar mengambil keputusan hendak menghadkan jumlah mas kahwin supaya tidak terlalu mahal dan melampau sangat serta mencadangkan tidak lebih daripada empat ratus dirham, lalu beliau berucap dalam satu perhimpunan yang turut dihadiri kaum wanita.

Ucap Umar: "Jangan kamu semua melampaui sangat dalam membawa mas kahwin kepada perempuan-perempuan. Kalaulah ia merupakan satu kemuliaan di dunia atau membawa ketakwaan di akhirat, nescaya Rasulullah orang yang lebih utama melaksanakannya, tetapi Rasulullah tidak pernah membawa mas kahwin bagi isteri-isteri atau anak-anaknya lebih daripada 12 ukiah daripada perak iaitu sebanyak 400 darham, maka sesiapa yang membawa mas kahwin lebih daripada itu, akan dijadikan yang lebih itu untuk baitulmal."



Selepas ucapan Umar itu, lalu tampil seorang wanita dan berkata kepada Umar: "Tak patut tuan berkata begitu wahai Umar." Lantas Umar bertanya kenapa? Lalau wanita itu meneruskan kata-katanya: "Kerana Allah telah berfirman dalam surah an-Nisa, ayat 20 (wanita itu membacanya).

Ayat tersebut bermaksud: "Dan jika kamu hendak mengambil isteri baru bagi menggantikan isteri lama yang kamu ceraikan sedang kamu telah pun memberikan kepada seseorang di antaranya itu isteri yang diceraikan itu harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil sedikit pun daripada harta itu. Patutkah kamu mengambilnya dengan cara yang tidak benar dan menyebabkan dosa yang nyata." (Surah an-Nisa, ayat 20).

Kisah yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Tarmizi dan Nasai itu bermaksud bahawa jumlah mas kahwin tidak ditetapkan hadnya.

Sungguhpun begitu disunatkan agar dikurangkan mas kahwin atau mengikut kemampuan seadanya. Sabda Rasulullah bermaksud: "Perkahwinan yang paling banyak berkatnya ialah yang paling murah mas kahwinnya." (Hadis riwayat Ahmad).

Perbelanjaan perkahwinan menjadi mahal dan mengapa keluarga perempuan meminta hantaran yang tinggi disebabkan tidak berhemah mengurus perbelanjaan.

Selain perbelanjaan menyediakan jamuan, ditokok tambah dengan hiasan bunga telur, hiasan pelamin, menempah mak andam, menyewa baju berberapa helai, perhiasan rumah, kad jemputan dan kumpulan kompang.

Oleh itu amat penting perbelanjaan perkahwinan tidak dilebih-lebihkan. Buatkan sekadar kemampuan, kerana yang penting ialah majlis akad nikah.

Kebahagiaan dan kerukunan rumahtangga bukan bergantung kepada jumlah mas kahwin dan besar kecil majlis perkahwinan yang diadakan.

Amat malang sekali banyak rumah tangga yang dibina dilanda masalah disebabkan tidak dapat menyelesaikan hutang majlis perkahwinan biarpun telah mempunyai cahaya mata.

Virtual Friends - Copyright © 2001-2014 Rakan Maya (PPM-0003-10-14012014). All rights reserved