Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 DilaDellila • 9 years ago • 4,241 viewed


USAHA mencegah kemungkaran adalah kewajipan yang amat diutamakan dalam Islam. Suruhan Allah supaya menghentikan kemungkaran selalunya disebut selepas arahan melaksanakan kebaikan. Hal ini menunjukkan melakukan kebaikan semata-mata, tanpa meninggalkan segala perbuatan yang dilarang oleh agama belum mencerminkan kesempurnaan iman. Kedua-dua tuntutan ini adalah fardu kifayah yang wajib ditunaikan umat Islam. Allah berfirman bermaksud: �Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru (berdakwah kepada manusia) supaya melakukan kebaikan, menyuruh berbuat baik dan mencegah daripada melakukan kemungkaran. Dan mereka adalah golongan umat yang berjaya.� (Surah Ali Imran, ayat 104)
Ayat itu dimulakan dengan kata arahan yang memberi makna wajib ke atas semua umat Islam untuk melaksanakan perintah menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah daripada melakukan kemungkaran.
Mungkar bermakna melakukan perkara yang diharamkan dalam syariat Islam atau meninggalkan perkara yang diwajibkan. Ia sama dari segi pengertiannya dengan istilah maksiat. Ulama membahagikan maksiat dari segi hukuman yang boleh dikenakan kepada pelakunya kepada tiga kategori iaitu:

Maksiat yang dikenakan hukum hudud atau qisas. Kesalahan dalam kategori ini dinyatakan secara terang dalam al-Quran atau hadis seperti kesalahan mencuri, melakukan persetubuhan dengan pasangan selain suami/isteri, minum minuman keras dan membunuh.

Maksiat yang dikenakan hukuman kaffarah (denda). Antara kesalahan ini adalah kaffarah yang dikenakan ke atas suami yang melakukan persetubuhan dengan isteri pada waktu siang Ramadan.

Maksiat yang dikenakan hukuman takzir (hukuman yang ditetapkan oleh pihak berkuasa). Maksiat dalam kategori ini paling banyak dan antaranya adalah kesalahan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim, berpakaian tidak menutup aurat, berhibur di pusat hiburan yang boleh melalaikan daripada mengingati Allah, salah guna kuasa, memberi atau menerima rasuah, tidak mendirikan sembahyang fardu dan tidak berpuasa pada siang Ramadan.
Rasulullah dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim bermaksud daripada Abu Said Al-Khudrhi, katanya: �Saya telah mendengar Rasulullah bersabda, barang siapa antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dicegahnya dengan tangan (kekuasaan). Jika tidak mampu, cegahlah dengan lidahnya (memberi nasihat). Jika tidak mampu juga, maka hendaklah mencegah dalam hati (tidak merestui perbuatan mungkar dan maksiat itu) dan ia adalah tahap iman yang paling lemah.�
Pihak berkuasa adalah salah satu pihak yang bertanggungjawab mencegah segala bentuk kemungkaran. Mereka hendaklah sedaya upaya berusaha menghapuskan perkara mungkar dan maksiat, terutama di khalayak ramai.
Antara langkah yang boleh diambil oleh pihak berkuasa bagi mencegah kemungkaran adalah melalui penggubalan dan penguatkuasaan undang-undang.
Usaha pencegahan kemungkaran oleh pihak berkuasa agama di Malaysia seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti Negeri dan Mahkamah Syariah di setiap negeri bagi mewujudkan masyarakat maju dengan menjadikan Islam sebagai satu cara hidup yang sempurna berasaskan al-Quran dan hadis.
Mereka bertanggungjawab menegakkan keadilan mengikut hukum Islam dan mengawal serta mencegah kemungkaran, maksiat, khurafat, bidaah, gejala murtad dan pemikiran yang menjejaskan kesucian agama Islam dan syariah.
Dengan mengambil Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sebagai contoh, terlalu banyak usaha diambil bagi mendakwah masyarakat Islam supaya melaksanakan perintah Allah dan menjauhi kemungkaran yang ditegah oleh-Nya.
Antara langkah yang diambil adalah melalui pendekatan dakwah dan pendidikan. Ia dilaksanakan melalui ceramah, seminar, kursus, forum, kelas pengajian agama dan laman web.
Seperti dibincangkan sebelum ini, usaha mengajak masyarakat supaya melakukan kebaikan tidak memadai tanpa langkah mencegah dan membasmi kemungkaran. Untuk itu, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, (Akta 559) digubal dan dikuatkuasakan sebagai salah satu langkah mencegah kemungkaran melalui bidang kuasa yang diperuntukkan oleh Parlimen.
Kesalahan Jenayah Syariah yang terkandung dalam akta itu merangkumi kesalahan yang berhubung dengan penyelewengan akidah, kesalahan berkaitan dengan mencemarkan kesucian agama Islam, berhubungan dengan pelanggaran kesusi-laan, pelbagai dan kerana bersubahat.
Tidak kurang 45 kesalahan jenayah syariah yang terkandung dalam akta itu yang boleh diambil tindakan oleh pihak penguat kuasa agama.
Bagaimanapun, selalunya apabila bercakap mengenai kesalahan jenayah syariah, apa yang selalu tergambar pada fikiran masyarakat umum adalah kesalahan berkhalwat, mengajar ajaran sesat dan tidak berpuasa pada siang hari Ramadan.
Terlupakah kita kepada definisi serta kategori mungkar dan maksiat dalam hukum fikah Islam? Bertepatan dengan ini, kesalahan kerana membuat maksiat cuba dimasukkan satu persatu dalam akta ini walaupun tidak semuanya.
Mengambil peruntukan Seksyen 29, sebagai contoh, �mana-mana orang yang bertindak atau berkelakuan tidak sopan (an indecent manner) bertentangan dengan hukum syarak di mana-mana tempat awam adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya�.
Peruntukan bagi kesalahan yang melanggar seksyen ini adalah terlalu luas dan merangkumi semua perkara mungkar dan maksiat dalam syariat Islam. Seksyen ini meletakkan syarat bahawa kemungkaran dan maksiat itu jika dilakukan, menjadi kesalahan dari segi undang-undang jika dilakukan di depan khalayak.
Suami isteri dihalalkan melakukan persetubuhan mengikut hukum syarak. Bagaimana pula keadaannya jika pasangan suami isteri membuat hubungan di taman rekreasi awam secara terbuka dan boleh ditonton orang lain? Mengikut hukum tentulah perbuatan ini diharamkan dan berdosa. Melalui penguatkuasaan undang-undang pula pasangan ini boleh ditangkap mengikut seksyen 29, Akta 559 kerana berkelakuan tidak sopan di tempat awam. Begitulah juga jika ada orang Islam yang berpakaian menjolok mata, kemudian mengunjungi kelab hiburan yang menjadi sarang tempat melepaskan ketagihan alkohol dan pil khayal, memang secara terang-terang melakukan kemungkaran kepada Tuhan.
Bagi mencegah kemungkaran yang langsung tidak mencerminkan peribadi seorang Muslim daripada terus berlaku, maka tindakan boleh diambil mengikut seksyen itu.
Menjadi lumrah bagi sesetengah golongan masyarakat yang tidak boleh menerima �kehadiran� kakitangan dan pegawai penguat kuasa sama ada Jabatan Agama Islam, polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan sebagainya. Oleh itu, kesalahan di kalangan penguat kuasa ini sengaja dicari dan diada-adakan bagi menutup kesalahan sebenar yang dilakukan oleh pelaku jenayah dan maksiat.
Hakikatnya mengambil kes penguat kuasa agama sebagai contoh, mereka bertindak melalui saluran undang-undang yang betul dengan hasrat untuk menunaikan perintah Allah supaya mencegah kemungkaran. Pencegahan pada peringkat awal perlu diberi perhatian serius dalam usaha menangani gejala keruntuhan akhlak dan sosial dalam masyarakat

Virtual Friends - Copyright © 2001-2014 Rakan Maya (PPM-0003-10-14012014). All rights reserved