Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 DilaDellila • 10 years ago • 8,700 viewed


Apabila memperkatakan soal jodoh atau pasangan timbullah persoalan:
apakah jodoh atau pasangan itu dipilih atau ia penentuan takdir semata-mata? Berbagai telahan diberikan ada yang mengatakan bahawa jodoh
itu, ketentuan Allah dan manusia perlu akur dengan kehendak-Nya dan ada pula yang mengatakan pasangan itu perlu dipilih di cari dan diselidiki ia bukannya penentuan takdir semata.
Sebenarnya, manusia dikehendaki berikhtiar untuk mendapat sesuatu dan Allah memberikan ikhtiar itu kepada manusia. Menerima takdir semata-mata
bukanlah bererti menunggu tanpa ada usaha untuk mendapatkannya, untuk mendapatkan sesuatu ia mestilah diusahakan kemudian barulah menyerahkan segalanya untuk takdir menentukan sama ada baik atau buruk juga berjaya atau tidak. Begitu juga dengan jodoh, walaupun Allah S.W.T sudah menentukan siapakah bakal pasangan seseorang, namun usaha untuk mendapatkan yang terbaik tidak boleh diabaikan.
Dalam soal pasangan ini, Islam tidak membiarkan manusia bertindak sendiri kerana soal pembinaan rumahtangga bukanlah sesuatu yang boleh
dianggap remeh. Oleh yang demikian Islam memberikan beberapa garis panduan kepada manusia untuk membina rumahtangga dan keluarga yang bahagia dan ini termasuklah panduan dalam memilih pasangan yang sesuai.
Setiap orang ingin memiliki isteri atau suami yang boleh membahagiakan rumahtangga. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w telah bersabda dalam satu
hadisnya yang masyhur bermaksud:
"Perempuan itu dikahwini kerana empat perkara. Kerana hartanya, kerana keturunannya, kecantikannya dan kerana keagamaannya. Maka utamakanlah yang beragama nescaya kamu mendapat kebahagiaan".
Dalam hadis di atas Rasulullah s.a.w menjelaskan tentang ciri-ciri yang biasanya menjadi asas pertimbangan dalam memilih isteri. Walau bagaimana pun Rasulullah s.a.w menegaskan bahawa ciri keagamaanlah yang perlu diutamakan dalam melakukan pemilihan.
Penegasan terhadap keutamaan ini dapat dilihat dengan jelas dalam ayat al-Quran yang ermaksud:
"Maka wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri di belakang suaminya oleh kerana Allah telah memelihara mereka".
Perkara ini perlu ditekankan kerana isteri yang mempunyai pegangan agama yang kuat akan sentiasa taat kepada suaminya dan akan sentiasa memelihara kehormatan dirinya.
Namun begitu nilai-nilai atau ciri-ciri lain tidaklah ditolak dalam menentukan pilihan, kerana ia merupakan unsur pelengkap kepada kebahagiaan rumahtangga. Ciri-ciri seperti kecantikan merupakan pendorong kepada kemesraan dan juga kecintaan suami terhadap isteri.
Apabila suami memandang isterinya yang cantik maka timbullah perasaan kasih dan cinta yang mendalam dan ini akan menjaga pandangan suami dan seterusnya ia akan melengkapkan lagi tuntutan daripada perkahwinan itu sendiri. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w ketika ditanya mengenai perempuan yang disifatkan baik, Rasulullah menjawab:
"Perempuan yang mengembirakan suaminya apabila dipandang mematuhi suaminya apabila disuruh dan tidak membantah suaminya samada tentang diri atau harta". Dalam satu hadis yang lain Baginda bersabda bermaksud:
"Sebaik-baik isteri ialah yang tercantik rupa parasnya dan ringan maharnya". Di samping itu Rasulullah s.a.w memperingatkan tentang keburukan mengutamakan pemilihan pasangan berdasarkan ciri-ciri kecantikan, harta dan kedudukan atau keturunan semata-mata. Antaranya hadis Baginda yang bermaksud: "Sesiapa yang mengahwini seseorang perempuan semata-mata kerana kemuliaannya, Allah tidak memberinya apa-apa pertambahan kecuali kehinaan. "Sesiapa yang mengahwininya kerana harta, Allah tidak akan menambahkan kepadanya kecuali kemiskinan. Sesiapa yang mengahwininya kerana kedudukan keluarganya Allah tidak akan menambahkan kepadanya kecuali kehinaan.
"Tetapi barangsiapa yang mengahwini perempuan bukan dengan tujuan yang lain melainkan untuk mengawal dan menjaga pandangan atau penglihatannya dan menjaga kehormatannya atau dengan tujuan menghubungkan silaturrahim
Allah akan memberkati ke dua-dua lelaki dan perempuan". (Hadis riwayat Ibn Hibban)
Antara ciri-ciri lain yang diutamakan dalam pemilihan pasangan ialah berpotensi untuk melahirkan zuriat yang ramai kerana zuriat akan menjadi penyumbang kepada kebahagiaan rumahtangga dan lambang kasih sayang suami isteri.
Di samping itu ia menjadi aset yang paling besar kepada umat Islam sebagai penyambung kepimpinan dan penguasaan di dunia ini. Dalam hal ini Rasulullah bersabda yang bermaksud:
"Kamu kahwinilah perempuan yang penyayang dan boleh melahirkan anak yang ramai kerana aku bangga dengan umatku yang ramai di hari Akhirat kelak".
Begitu juga pasangan yang dipilih itu hendaklah tidak terdiri dari kerabat yang dekat. Tujuan perkahwinan ialah untuk menyambung
silaturrahim, memperkembangkan masyarakat, mempereratkan hubungan sesama
manusia dan mengelakkan terjadinya sikap perkauman kerana itulah Islam
menggalakkan perkahwinan itu terjadi antara orang yang bukan di kalangan kaum kerabat.
Rasulullah sendiri bersabda yang bermaksud:
"Janganlah kamu berkahwin dengan sanak saudara kerana ia akan melahirkan anak yang berbadan kurus, lemah dan kurang mampu berfikir".
Begitupun ciri-ciri ini bukan sahaja digunakan untuk menentukan calon isteri, malah tidak sedikit hadis-hadis yang memperkatakan tentang calon suami. Antaranya sabda Rasulullah dalam nasihatnya kepada wali (penjaga bagi anak perempuan) yang bermaksud:
"Apabila seseorang yang kamu yakini tentang keagamaan dan akhlaknya datang melamar (anak kamu) maka kahwinkanlah dia. Jika kamu enggan fitnah dan keburukan akan terjadi di dunia ini. Lalu orang ramai bertanya: Ya Rasulullah, kalaupun dia seorang yang kafir dan tidak berada?
Jawab baginda, Apabila seseorang yang kamu yakini tentang keagamaan dan akhlaknya datang melamar maka kahwinkanlah dia (dan Rasulullah menyebutnya hingga tiga kali)". Hadis di atas jelas sekali mementingkan ciri atau aspek keagamaan dan akhlak dalam pemilihan.
Namun begitu sebagaimana lelaki diberikan hak untuk menentukan pasangan maka, wanita juga tidak dinafikan haknya dalam memilih, malah aspek-aspek seperti keturunan, rupa paras dan harta benda juga menjadi ciri asas kepada pertimbangan pemilihan selain keutamaan diberikan kepada ciri keagamaan dan akhlak.
Antara hadis Rasulullah dalam hal-hal seperti ini ialah penerimaan Rasulullah terhadap penolakan Barirah untuk terus bersama suaminya yang masih hamba sedangkan dia sendiri sudah dimerdekakan.
Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Hai Abbas, tidakkah kamu kagum dengan kecintaan Mugith terhadap Barirah dan kebencian Barirah terhadap Mugith? Alangkah baiknya jika Barirah menerima Mugith kembali." Kata Barirah:
"Ya Rasulullah, apakah kamu menyuruh saya berbuat demikian?" Jawab Baginda: "Saya hanya mahu membantu". Barirah menjawab: Kalau begitu saya tidak lagi memerlukannya".
Dalam hadis ini Rasulullah s.a.w mengakui bahawa aspek kedudukan dan keturunan menjadi pengukur kepada pemilihan pasangan kerana itulah Rasulullah menerima penolakan Barirah terhadap Mugith kerana dia sudah merdeka sedangkan Mugith masih hamba.
Dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w juga mengakui bahawa aspek atau ciri kecantikan atau rupa paras juga menjadi pengukur untuk menerima pasangan dengan sebab itu Rasulullah menerima pemutusan ikatan perkahwinan atas sebab keburukan rupa paras. Ibnu Abbas telah meriwayatkan dalam suatu hadis yang bermaksud:
"Cerai khulu' yang pertama sekali dalam Islam ialah kes saudara perempuan Abdullah bin Ubai. Dia telah datang kepada Rasulullah dan berkata: "Wahai Rasulullah! Saya tidak akan bersatu dengannya (suami yang dikahwininya) buat selama-lamanya.
"Sesungguhnya apabila saya menyelak sebahagian daripada khemah saya melihat dia dalam satu angkatan. Saya dapati dialah yang paling hitam, paling pendek dan paling hodoh mukanya dalam angkatan itu." Kata suaminya: "Wahai Rasulullah, saya telah memberikan kepadanya (Isteri) sebaik-baik harta, iaitu sebuah kebun kalau dia memulangkan kembali kebun itu kepadaku!"
Sabda Rasulullah s.a.w kepada perempuan itu: "Apa pandangan kamu?" Maka jawabnya: "Ya, malah kalau dia mahu, saya boleh tambah lagi." Maka Rasulullah lalu memisahkan antara keduanya.
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa sebab kepada perpisahan itu ialah penolakan isteri terhadap rupa paras suaminya yang buruk. Antara aspek lain yang juga diambil kira dalam pemilihan suami ialah kesihatan tubuh badan.
Dalam hal ini para Fuqaha bersepakat memberikan hak kepada isteri untuk memohon fasakh jika didapati suami mempunyai penyakit yang boleh menghalang terlaksananya hubungan suami isteri.
Antara matlamat pensyariatan perkahwinan ialah untuk menyalurkan naluri kemanusiaan melalui jalan yang disyaratkan dan jika matlamat ini tidak dapat dipenuhi, peruntukan fiqh memberikan jalan keluar dengan mensyariatkan fasakh.
Begitu juga soal umur, ia juga diambil kira malah perkahwinan dengan lelaki atau perempuan yang lanjut usia dianggap makruh. Ini kerana sebahagian daripada matlamat perkahwinan itu iaitu untuk menyalurkan naluri kemanusiaan kemungkinan tidak akan dapat ditunaikan secara baik.
An Nasa'i meriwayatkan Abdullah bin Umar menceritakan bahawa ayahnya berkata: Abu Bakar dan Umar r.a telah meminang Fatimah. Rasulullah s.a.w lalu berkata: "Dia masih kecil".
Kemudian anaknya dipinang oleh Ali. Baginda lalu mengahwinkan Fatimah dengan Ali. Dalam riwayat di atas penolakan Rasulullah terhadap Abu Bakar dan Umar bukanlah kerana sesuatu sebab yang tidak baik yang ada pada mereka tetapi hanya kerana umur mereka yang terlalu jauh dibandingkan dengan umur Fatimah.
Walau bagaimana pun, jika soal agama dan akhlak menjadi kayu ukur dalam pemilihan isteri begitu juga dalam pemilihan calon suami, aspek tersebut tetap diutamakan dan nilai atau ciri-ciri lain diambil kira setelah asas agama dan akhlak dipenuhi.
Penutup Ideal atau realistiknya panduan yang diberikan oleh Islam dalam pemilihan pasangan bukanlah menjadi sebab kepada penolakan tuntutan perkahwinan. Islam tidak bertujuan untuk menyempitkan laluan ke arah perkahwinan, cuma jika syarat-syarat ini dipenuhi, Islam menjanjikan suatu suasana yang harmonis dan kebahagiaan yang didambakan oleh sebahagian besar pasangan yang berumahtangga.

Virtual Friends - Copyright © 2001-2014 Webber Dot My Solutions (002351632-A). All rights reserved