Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 DilaDellila • 16 years ago • 20,859 viewed


"Punca manusia sembahyang tetapi terus melakukan maksiat
Soal Jawab Agama Oleh Dr. Amran Kasimin

SOALAN:
Saya berumur hampir 50 tahun, seorang ahli korporat yang berjaya, ada gelaran dan mempunyai projek-projek mega. Dalam satu tazkirah, seorang ustaz menyatakan sembahyang itu mencegah pelakunya daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran. Bermaksud, kalau seseorang itu sembahyang, dia tidak akan melakukan kejahatan dan kemungkaran.

Apa yang berlaku kepada saya adalah berlainan. Saya sembahyang tetapi masih tidak dapat mengelakkan diri daripada perempuan, lebih-lebih lagi ketika berkunjung ke luar negara, biarpun mempunyai isteri dan anak yang sedang meningkat remaja.

Saya tahu apa yang saya lakukan salah, tetapi saya sebenarnya tidak berupaya mengawal diri dan seumpama ada satu keseronokan yang tidak dapat disekat. Apakah cara terbaik untuk mengelakkan daripada terus berlaku perbuatan seperti ini? - Ramli, London

JAWAPAN:
Memang benar, seperti yang tersebut dalam surah al-Ankabut: 45 terdapat firman Allah yang menyatakan sembahyang itu mencegah pelakunya daripada melakukan kejahatan (fahsya) dan kemungkaran. Bermaksud bahawa sekiranya seseorang itu berupaya melakukan sembahyang, maka hasil daripada sembahyang yang dilakukan, orang yang berkenaan tidak akan melakukan perbuatan maksiat, melanggar perintah Allah.

Berkaitan dengan persoalan yang saudara kemukakan, saudara cuba mengaitkan firman Allah tersebut yang dijelaskan oleh ustaz dalam tazkirahnya. Apa yang berlaku pada diri saudara, adalah berlainan daripada firman Allah, yang dihuraikan oleh ustaz berkenaan. perlu difahami dan diinsafi bahawa kata-kata Allah (kalamullah) itu tidak dusta atau salah berdasarkan kepada apa yang berlaku pada diri saudara. Sesungguhnya Allah itu Maha Agung, Suci daripada kesalahan atau kesilapan.

Setiap orang Islam wajib menghayati sembahyang yang dilakukan dalam erti kata yang sebenar. Dalam usaha meraih manfaat sembahyang, setiap orang mesti faham makna-makna bacaan sembahyang yang dibaca, terutama bacaan al-Fatihah. Memang benar bahawa memahami makna bacaan sembahyang itu tidak termasuk dalam rukun sembahyang, ataupun syarat sah sembahyang, tetapi dalam usaha menghayati sembahyang yang dilakukan, agar sembahyang yang dilakukan itu dapat dihayati, setiap orang wajib memahami bacaan sembahyang yang dibaca.

Ketika membaca al-Fatihah, seseorang itu akan memulakannya dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Mengasihani. Kemudian disusuli dengan puji-pujian kepada Allah, Tuhan seru sekalian Alam, Tuhan yang Maha Pemurah lagi Mengasihani. Tuhan yang berkuasa di akhirat kelak. Hanya kepada-Nya sahaja yang disembah, juga memohon pertolongan.

Setelah itu baru disusuli dengan doa, agar Allah memberi petunjuk jalan yang lurus, iaitu jalan di mana Allah telah nikmat ke atas mereka yang terdahulu.

Iaitu mereka yang terdiri daripada para utusan Allah, nabi-nabi, khalifah-khalifah, para sahabat, tabiin, para salihin dan sebagainya di mana mereka semuanya di bawah naungan Allah, mendapat hidayah, petunjuk dan diberi kebahagiaan nikmat Allah di dunia dan di akhirat, hasil daripada sifat kepujian hidayah Allah.

Dalam membaca al-Fatihah, setiap orang memohon kepada Allah agar mereka tidak termasuk dalam golongan yang dimurkai Allah, iaitu setiap orang yang terlibat dengan kesalahan, melanggar perintah Allah dan mengingkari segala hukuman atau taklif yang telah difardukan.

Termasuk dalam golongan ini ialah mereka yang terlibat dengan rasuah, menyalahgunakan kuasa, pecah amanah, mementingkan diri atau kumpulan, memecah-belahkan persaudaraan Islam, memutuskan silaturahim dan sebagainya, termasuk mereka yang terlibat dengan perbuatan zina, tidak kira sama ada zina itu dilakukan di sarang-sarang pelacuran atau di hotel-hotel, di taman-taman, di rumah tumpangan, yang berlaku atas kerelaan masing-masing dengan perempuan simpanan, pelacur yang dibayar, dilanggan di dalam negara atau di luar negara.

Ketika membaca al-Fatihah, setiap orang memohon agar tidak masuk dalam golongan orang yang sesat, iaitu setiap orang yang melakukan kesalahan, menentang perintah Allah terus-menerus, mempertikaikan tentang hadis, mentafsir dan mengubah hukum-hukum Allah daripada tafsiran yang benar yang menyebabkan pertelingkahan atau membawa kecelaruan umat Islam.

Inilah di antara kandungan al-Fatihah yang dibaca, yang dipohon oleh setiap orang yang sembahyang, pada setiap rakaat. Pada akhir al-Fatihah, setiap orang berdoa agar apa yang dibaca, yang dipohon ketika sembahyang, iaitu ketika membaca al-Fatihah diperkenankan oleh Allah dengan membaca ``amin'' yang bermakna

``ya Allah, perkenankan permohonan kami.'' Persoalan yang timbul, adakah saudara menyedari bahawa sembahyang yang saudara lakukan selama ini mengandungi rintihan-rintihan atau doa-doa, seperti yang dijelaskan kepada Allah?

Kalaulah saudara menjawab bahawa saudara tidak memahaminya, maka tidak peliklah sekiranya seseorang itu mendirikan sembahyang, tetapi dalam keadaan yang sama, iaitu ketika di luar sembahyang seseorang itu melakukan zina seperti berlaku pada saudara, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa yang diberi, menipu dan tidak bertanggungjawab.

Sebaliknya, sekiranya saudara menjawab bahawa saudara sebenarnya memahami maksud bacaan al-Fatihah yang dibaca pada setiap rakaat seperti yang dijelaskan, tetapi saudara masih tetap tidak dapat mengelakkan diri daripada perempuan, iaitu berzina, bererti saudara sebenarnya tidak memahami atau menghayati bacaan yang saudara lafazkan.

Tidak ubah sama seperti mereka yang mempunyai pengetahuan tentang adanya balasan jahat iaitu neraka daripada Allah pada hari kiamat kelak, tetapi tetap melakukan dosa. Pada hakikatnya, orang yang seperti ini hanya mempunyai pengetahuan atau maklumat, tetapi tidak menghayatinya dan tidak beriman dengannya dalam erti kata sebenar.

Saudara perlu yakin, bahawa apabila seseorang itu memohon jalan yang lurus, iaitu jalan rasul-rasul, nabi-nabi, para salihin dan sebagainya yang hidup dalam hidayah dan naungan Allah, lebih-lebih lagi sekiranya seseorang itu berupaya sembahyang pada waktu malam, merintih dan merayu hidayah, jalan lurus daripada Allah, seseorang itu tidak akan berzina pada keesokan harinya, tidak akan melakukan rasuah, pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan lain-lain kemungkaran.

Begitulah halnya dengan orang yang melakukan dosa. Mula-mulanya ada rasa kelainan, terasa dosa, haram dan sesekali terasa ngerinya ancaman neraka. Tetapi apabila suasana ini terus-menerus dilakukan dan menjadi sebati, menjadi budaya hidup, ia akan menjadi rasa ketagih. Begitulah halnya dengan mereka yang terlibat dengan alam persundalan, minum arak, dosa rasuah dan sebagainya.

Orang yang seperti ini perlu undur, kembali ke pangkal jalan, jangan sampai Allah tutup atau matikan hati-hati mereka, Allah pekakkan telinga, juga butakan mata menyebabkan segala hidayah itu tertutup rapat. Bagi mereka adalah azab yang pedih.

Kalaulah perzinaan itu berlaku kerana saudara terlalu kuat nafsu, tidak cukup dengan isteri yang ada, saudara wajib berkahwin. Saudara mempunyai alasan, yang termasuk dalam kategori ``darurat''. Nafsu saudara tidak dapat diredakan dengan seorang isteri. Saudara mempunyai harta dan segala-galanya.

Kebahagiaan sebenar

Walaupun demikian, lazimnya, Allah menjadikan seorang perempuan itu mencukupi bagi seorang lelaki. Sekiranya saudara tidak boleh menahan nafsu ketika di luar negara, tidak salah membawa isteri. Semua perempuan akan lari menyisihkan diri apabila mendapati si isteri ada bersama. Jangan jadikan kunjungan keluar negara peluang memperagakan diri seperti bujang.

Sama sekali tidak akan berlaku dua fenomena yang bertentangan seperti yang dijelaskan. Seorang yang ketagih zina, melanggani pelacur kelas pertama atau kelas ketiga di lorong-lorong gelap lagi menjijikkan pada kepekatan malam, tidak akan sujud, sembahyang subuh sebelum fajar menyingsing atau sembahyang duha sebelum tengah hari. Walaupun demikian, tidak mustahil sekiranya orang yang melakukan zina, ketagih arak, rasuah dan sebagainya itu sembahyang sesekali, ketika nafsunya berubah. Dalam keadaan seumpama ini lalu timbul persoalan, bagaimanakah seseorang itu masih melakukan zina, rasuah dan lain-lain kejahatan, padahal dia mendirikan sembahyang?

Saudara merasakan bahawa saudara seorang ahli korporat yang berjaya. Luarannya saudara memang kelihatan berjaya, kejayaan bersifat material, ada gelaran, dipanggil dibelai kanan dan kiri dan mempunyai projek-projek mega yang dibanggakan. Tetapi saudara tidak semestinya memperoleh kebahagiaan yang sebenar. Kebahagiaan sebenar ialah ketenangan hidup.

Dalam diri saudara timbul pro dan kontra yang sentiasa menghantui perasaan kerana saudara seorang yang waras dan berakal. Akal dan agama sering memberontak dan membentak setiap kesalahan yang dilakukan oleh diri. Dalam urusan rumah tangga, tidak kira betapa besar pangkat yang disandang oleh seorang suami atau kekayaan yang dimiliki, tindak-tanduk buruk itu akhirnya akan diketahui oleh isteri.

Dari sini akan lahir pelbagai pergeseran rumah tangga, hilang rasa hormat daripada anak-anak, hilang rasa kasih sayang juga kepercayaan seluruh keluarga terutama isteri, lalu akhirnya pangkat, nama, gelaran dan kekayaan yang dimiliki itu hanya tinggal momokan semata-mata yang tidak dapat dinikmati hasilnya, menyebabkan saudara sebenarnya mempunyai lukisan-lukisan indah luaran semata-mata.

Kalau kita berupaya mendongak langit, kita akan menyedari betapa kecilnya diri kita ini. Sebaliknya kalau kita merenung ke bumi, yang dipenuhi rumput yang merayap atau gaung yang bergema, kita akan terasa tingginya tempat kita berpijak.

Letakkan kedudukan saudara di tempat atau kedudukan seorang isteri. Apa perasaan isteri apabila melihat suaminya yang disayangi itu melanggani pelacur di hotel-hotel. Letakkan diri saudara sebagai anak-anak yang sedang remaja, terutama anak perempuan yang melihat bapanya melakukan perbuatan terkutuk dengan perempuan yang sama jenis dengannya.

Sesungguhnya orang yang melanggani perempuan tanpa nikah itu adalah di antara mereka yang menggalakkan pelacuran, rumah-rumah persundalan yang hakikatnya hanya akan memusnahkan reputasi diri, keluarga kucar-kacir, masyarakat tidak menentu yang boleh menyebabkan kestabilan negara tergugat.

Berzina termasuk dalam kategori dosa-dosa besar. Andainya seseorang itu boleh melakukan dosa-dosa besar, lumrahnya, dosa-dosa lain, yang tidak termasuk dalam dosa besar atau setaraf dengannya seperti rasuah dan sebagainya adalah mudah baginya.

Perbuatan maksiat itu menjijikkan, seumpama najis, sekiranya ia dapat dilihat dengan mata atau dirasa dengan lidah.

Orang yang minat dengan kucing, tidak berasa satu keanehan najis belaannya, hasil rasa minat dan persekitaran yang dilalui setiap hari, suasana persekitaran seumpama ini. Ia menjadi satu perkara biasa, malah mungkin akan terasa kelainan sekiranya suasana seumpama itu tidak ada. Ada rasa ketagih dengan suasana seumpama itu.

Begitulah halnya dengan mereka yang selalu terhidu dengan sampah sarap di sekeliling tempat tinggal, najis lembu atau kerbau, kambing dan juga najis ayam di mana ratusan ayam dibela di reban.

Pembaca yang ada kemusykilan alamatkanlah soalan kepada:

Dr. Amran Kasimin

Mingguan Malaysia

46M, Jalan Chan Sow Lin

55200 Kuala Lumpur.

Faks: 03-92213752

Virtual Friends - Copyright © 2001-2020 Webber Dot My Solutions (002351632-A). All rights reserved