Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 DilaDellila • 10 years ago • 4,078 viewed


Mengikut adat resam bangsa Melayu, majlis perkahwinan sepatutnya diambil berat sepenuhnya. Kepada bangsa Melayu, majlis perkahwinan adalah peristiwa yang amat penting dan istimewa bukan sahaja kepada pasangan pengantin tetapi kepada ibu bapa dan ahli-ahli keluarga serta sahabat handai yang rapat
Adat yang berkaitan dengan perkahwinan termasuk aspek-aspek merisik, meminang, bertunang, penghantaran belanja, majllis bersanding seharusnya yang paling hebat peristiwanya. Mengikut adat silam, dari segi persediaan untuk perkahwinan terdapat adat-adat berkaitan dengan berandam, berasah gigi dan berinai. Kemuncak dalam adat resam perkahwinan keseluruhannya adalah majlis bersanding.
Di masa silam, bersanding adalah satu aspek perjalanan hidup yang dijalankan oleh ibu bapa. Merekalah yang memilih teman hidup bagi anak masing-masing. Biasanya apabila ibu bapa merasai anak lelaki sudah sampai masa untuk berkahwin, mereka mula merisik untuk memilih gadis yang sesuai. Pada umumnya, ibu bapa meminta saudara mara mengesan dan mencari gadis sesuai dikahwinkan dengan anak lelaki mereka.
Adab Meminang.
Dalam zaman mengejar kemajuan ini, adakalanya adat resam dikebelakangkan. Ini termasuklah dalam soal adat meminang. Adat meminang boleh dibahagikan kepada dua peringkat iaitu Merisik dan Meminang.
Apabila hati seorang teruna telah berkenan pada seorang dara, biasanya dia akan menghantar wakil untuk merisik bagi menentukan sama ada si dara telah berpunya atau belum. Kadang kala semasa merisik, wakil teruna akan menyerahkan sebentuk cincin tanya. Jika pihak dara bersetuju, mereka akan menetapkan tarikh untuk masuk meminang dan seterusnya bertunang.
Apabila hari yang ditetapkan tiba, wakil teruna akan masuk meminang secara rasmi. Biasanya pihak teruna akan membawa bersama hadiah beberapa dulang hantaran termasuk sebentuk cincin atau sebagainya. Pada ketika ini, kedua-dua wakil akan menetapkan tarikh ijab kabul dan persandingan mengikut kesesuaian kedua belah pihak.
Namun kini, hanya adat masuk meminang sahaja yang masih diamalkan. Pada zaman teknologi maklumat ini, biasanya kedua-dua teruna dara telah berkenalan terlebih dahulu. Jadi adat merisik khabar dirasakan tidak perlu lagi. Tambahan pula ini dapat menjimatkan kos dan masa. Namun bagi sesetengah pasangan yang inginkan cara yang lebih tertib dan menyeronokkan, mereka lebih gemar mengikut adat.
Sesuatu yang perlu diingat apabila anda ingin mendirikan rumahtangga ialah jangan sesekali membelakangkan ibu bapa. Mintalah pendapat dan nasihat mereka kerana restu orang tua ada hikmatnya.
Hantaran
Hantaran tidak wujud di dalam Islam. Lebih-lebih lagi barang yang digubah menjadi itik, angsa, burung dan pelbagai bentuk binatang. Ini unsur-unsur syirik yang tidak sepatutnya diamalkan oleh umat Islam. Sekiranya ingin memberi barang dengan niat ikhlas kepada bakal isteri, seeloknya diserahkan lebih awal iaitu sebelum dijalankan akad nikah. Tidak dengan beradat dulang apatah lagi dulang emas atau perak yang dilarang Islam kerana bejana (barangan atau perhiasan rumah) emas dan perak, haram umat Islam menggunakannya.
Tambahan pula budaya hantaran hanya akan mendatangkan kesan yang buruk jika berlaku perselisihan faham. Sekiranya hantaran diberi sebelum bernikah andai pihak gadis memutuskan perhubungan adat menetapkan pihak lelaki boleh menuntut ganti rugi dua kali ganda hantaran yang diberikan kepada bakal isteri. Ini hanya akan membebankan keluarga gadis itu..
Peminangan & Pertunangan
Peminangan dari sudut Islam dilakukan dengan tujuan untuk;
1. Mengenali sifat lelaki yang baik seperti yang dinyatakan di dalam Riwayat At-Tarmizi dan An-Nassaei;"Sesempurna orang lelaki yang beriman, keimanannya ialah mereka yang berbudi baik dan berhemah lembut terhadap keluargaanya."
Untuk mengenali wanita yang salih seperti yang dinyatakan di dalam firman Allah s.w.t. di dalam surah An-Nisa' ayat 34; "Maka wanita yang salihin itu ialah yang taat serta tetap memelihara diri di kala ketiadaan suami dengan cara yang diajarkan oleh Allah."
Mencari isteri yang manis rupanya seperti dinyatakan Hadis Nabi di dalam Riwayat Ibnu Hibban menyatakan; Sebaik-baik wanita ialah yang cantik, manis rupanya dan murah pula mas kahwinnya.
Untuk tidak melambat-lambatkan pernikahan sekiranya kedua pasangan sudah suka antara satu sama lain. Dinyatakan dalam Riwayat Al-Baihaqie; "Tiga perkara yang tidak dapat ditangguh-tangguhkan lagi ialah solat bila tiba waktunya, jenazah yang sudah tiba dan wanita bila diperolehi sekufu (sesuai) dinikahi.
Namun apa yang sering berlaku kala peminangan;1. Apabila lelaki datang meminang, maka yang ditanya ibu bapa perempuan ialah kerja, pendapatan, pangkat, kereta serta harta bendanya sehingga memperlihatkan bukan ciri-ciri lelaki terbaik yang dipilih sebaliknya kebendaan.2. Bila diterima, akan ditetapkan belanja hantaran yang memberatkan dan menjadi kemegahan sekiranya hantaran mahal bersama serba satu pakaian dan perhiasan.
Dibincangkan tempoh untuk melangsungkan pernikahan. Jarang menyegerakan pernikahan sebaliknya ditangguhkan sehingga dua atau tiga tahun. Kesannya memberi peluang pasangan bergaul bebas, meminta dibelikan pakaian, perbelanjaan dan sebagainya kerana pada anggapan mereka bertunang seolah-olah sudah menjadi hak tidak rasmi.
Pernikahan
Sebaik-baiknya biarlah majlis akad nikah dilakukan di dalam masjid atau surau kerana tempat ini luas, terpelihara daripada perhiasan-perhiasan gambar atau patung yang membawa kepada unsur-unsur syirik. Selain daripada itu memudahkan lelaki untuk melakukan solat sunat nikah dan sujud syukur setelah diakad nikah dan mengelakkan percampuran antara lelaki dan perempuan.
Berbanding sekiranya majlis ini dijalankan di rumah, percampuran lelaki dan perempuan sukar dikawal. Lebih-lebih lagi jika rumah pengantin perempuan kecil dan sempit. Maka pada hari itu tetamu perempuan dan pengiring pengantin lelaki akan duduk di tempaat majlis akad nikah itu dijalankan. Selain mengganggu pengantin lelaki, sepatutnya wanita mesti berada di dalam bilik atau di tempat yang diletakkan tirai atau sekatan supaya terlindung daripada kaum lelaki.
Amat mustahak calon isteri menyaksikan upacara pernikahan iaitu bersama-sama mendengar doa, takliq dan nasihat-nasihat kadi yang menikahkan. Manakala selepas upacara pernikahan seeloknya diiringi dengan majlis-majlis keagamaan seperti majlis khatam Al-Quran dan majlis berzanji bukan muzik, hiburan pancaragam atau tari-menari.
Serba Satu Putih Berdiri
Perkahwinan dalam adat istiadat Melayu suatu upacara panjang lebar yang penuh dengan adat istiadat. Walau sehari tidak ketemu disarakan bagai setahun, namun adat diketepi jangan. Untuk memiliki si jantung hati harus datang beradat. Setiap hasrat disampaikan dalam jalur kesopanan. Bunga yang kembang mekar hendaklah ditilik dirisik terlebih dahulu. Apabila sah belum disunting maka bertandangkan rombongan merisik.
"Datang kami datang berhajat ingin memetik bunga di taman." Maka disambut si tuan rumah," Kalau kena dengan cara suntingan, kecil tapak tangan nyiru kami ditadahkan." Setelah pinangan diterima menyusul adat hantar tanda. Ibarat pepatah orang tua-tua "kerbau ditambat dengan tali, janji diikat dengan tanda." Justeru wajarlah sebentuk cincin pengikat kata." Lantas dihulurkan sebutir cincin belah rotan atau bertatah intan atau berlian.
Bagaimanapun sebelum itu dirundingkan segala hal-hal bersangkut-paut dengan hantaran; berapa mas kahwin yanng dikehendaki? Berapa belanja hangus. Apakah barang-barang yang dikehendaki waris si dara? Adakah hantaran ini mahu dibawa pada hari pertunangan atau langsung atau sebahagian pada hari bertunang dan bakinya pada hari pernikahan? Semuanya harus diputuskan sebelum menjelang hari pertunangan.
Membuka tabir budi bicara, berkatalah wakil pihak perempuan. "Hidup dikandung adat maka seperti yang kebiasaan begitulah kehendak kami. Tetapi besarlah hati kami jika selain dari sepersalinan dapat kiranya serba satu putih berdiri." Indah, halus dan penuh beralas. Hidup menjunjung adat bangsa Melayu kaya dengan kiasan. Permintaan diungkapkan dalam kata-kata indah dan manis, tidak kurang yang berpantun.
Perkahwinan dari segi perspektif Islam secara ringkas
Sesungguhnya, agama Islam menggalakkan setiap insan yang sempurna dan berkemampuan untuk mendirikan rumahtangga demi menjaga keharmonian masyarakat. Perkahwinan dapat memelihara seseorang daripada zina. Perkahwinan juga dapat menambah umat dan memelihara nasab keturunan. Ia telah menjadi sunnah Nabi Muhammad s.a.w.
Islam telah menggariskan sekitar empat ciri utama pemilihan bakal isteri dan suami. Pertama carilah yang cantik rupa parasnya. Kedua, carilah yang mempunyai harta. Ketiga carilah yang baik keturunannya dan keempat, carilah yang beriman. Di antara keempat-empat ciri ini, yang beriman perlu diutamakan.
Kebiasaannya, setiap lelaki dan perempuan akan tertarik kepada rupa paras sebelum memikirkan hal-hal lain. Inilah lumrah semula jadi manusia. Bagi pihak orang tua pula, mereka kerap kali memikirkan tentang asal usul dan kewangan bakal menantu. Jarang sekali soal iman dititikberatkan.
Sesungguhnya anjuran Islam ada fadhilatnya. Rupa paras dan harta benda tidak kekal lama. Tetapi iman yang dipupuk dalam hati nurani mampu bertahan walaupun jasad telah dimamah usia. Orang yang beriman lebih tulus hatinya, lebih kuat sabarnya dan lebih mulia tingkah lakunya.
Secara umumnya, sebelum pasangan teruna dara bernikah, segalanya dipandang manis. Kelakuan yang tidak baik biasanya dipendam sedalam-dalamnya. Si teruna tidak mengetahui keburukan si dara dan sebaliknya. Semuanya nampak cantik kerana adanya orang ketiga yang sentiasa di samping iaitu syaitan. Tetapi setelah bernikah, apabila syaitan menjauhkan diri, mereka mula nampak peri laku sebenar masing-masing. Maka pada ketika ini, bermacam-macam masalah mula timbul. Itu tak kena, ini tak kena. Akhirnya mahligai bahagia menjadi neraka. Namun begitu, bagi orang yang beriman, segala kerenah dihadapi dengan sabar. Di sinilah kelebihan iman. Sebab itu, Islam menggalakkan anda memilih pasangan yang beriman sebagai kriteria utama pemilihan pasangan hidup agar mahligai bahagia kekal sentosa selamanya.
Prosedur Perkahwinans
Prosedur Perkahwinan
Perkara maha penting sebelum anda menyediakan persiapan perkahwinan ialah memastikan anda telah mendapat kelulusan untuk berkahwin daripada Jabatan Agama kawasan anda, contoh: JAWI, JAIS, MAIK dan sebagainya. Tapi sebelum anda membuat permohonan untuk berkahwin, ada beberapa prosedur yang mesti diikuti.
1. Kursus Perkahwinan - Ada dua jenis kursus perkahwinan iaitu kursus yang dikendalikan oleh Jabatan Agama dan kursus oleh pihak swasta. Walaupun kedua-dua kursus ini hampir serupa tetapi anda dinasihatkan supaya mengambil kursus yang dikendalikan oleh Jabatan Agama kerana ia mungkin memudahkan langkah seterusnya. Bakal pengantin yang mengambil kursus swasta mungkin ditemu duga oleh Jabatan Agama ketika membuat permohonan berkahwin. Anda dinasihatkan pergi berkursus bersama-sama pasangan anda agar segala maklumat dan ilmu dapat dimengerti bersama. Apabila selesai berkursus yang biasanya mengambil masa dua hari, anda akan menerima Sijil Tamat Kursus yang boleh diambil di Jabatan Agama. Sijil ini sah sampai bila-bila.
2. Setelah menerima sijil, anda bolehlah mengisi borang permohonan berkahwin yang boleh didapati dari pejabat Jabatan Agama daerah anda mengikut kad pengenalan. Isikan lengkap dan sertakan bersama surat akuan bujang yang dimateri dengan cap syarikat tempat anda bekerja. Kemudian dapatkan tandatangan jurunikah atau wakil jurunikah atau ketua kariah tempat anda. Bawa bersama dua orang saksi semasa anda mendapatkan tandatangannya.
3. Serahkan borang yang telah lengkap kepada bakal pengantin perempuan. Pengantin perempuan juga perlu mengisi borang permohonan bernikah. Mereka hendaklah memohon di Jabatan Agama mengikut alamat dalam kad pengenalan. Selain dilampirkan dengan surat akuan bujang dan borang permohonan pengantin lelaki, pengantin perempuan perlu membawa bersama wali dan dua orang saksi ke pejabat Jabatan Agama ketika menyerahkan borang yang lengkap diisi. Bagi pengantin yang akan bernikah di tempat lain, mereka perlu merujuk pula kepada Jabatan Agama tempat tersebut.
4. Setelah kelulusan didapati, sila tetapkan tarikh akad nikah dengan jurunikah.
5. Setelah akad nikah dijalankan, sila serahkan gambar untuk urusan memohon sijil dan kad nikah.

Virtual Friends - Copyright © 2001-2014 Webber Dot My Solutions (002351632-A). All rights reserved