Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 bigboss • 9 years ago • 6,790 viewed


Memahami punca pelajar ponteng


MASALAH ponteng sekolah bukan perkara baru tetapi kegagalan mengambil tindakan berterusan menyebabkan gejala itu terus menular sehingga membimbangkan.

Daripada keseluruhan pelajar yang dikenal pasti terbabit dengan masalah ponteng, kira-kira 97 peratus adalah lelaki dan tiga peratus lagi pelajar perempuan.

Pelajar sekolah menengah, terutama berusia 14 dan 15 tahun, dikenal pasti kumpulan majoriti terbabit dengan gejala ponteng.

Masalah itu dikesan lebih ketara di kalangan pelajar sekolah menengah di kawasan bandar dan pinggir bandar.

Menurut kajian, antara faktor yang mungkin menjadi punca keadaan itu ialah sebagai remaja, ada pelajar di peringkat menengah mengalami kesukaran menyesuaikan diri dengan perubahan hidup mereka, khususnya daripada aspek psikologi, dari alam kanak-kanak ke alam dewasa.

Mereka ingin mencuba sesuatu yang baru dan suka melihat perkara baru.

Dalam membuat eksperimen kehidupan, kadang-kadang ada antara mereka terperangkap dalam situasi kehidupan sebenar dan sukar untuk berpatah balik sekiranya tidak ada bimbingan.

Kebanyakan pelajar bermasalah suka ponteng sekolah kerana menghadapi masalah menyesuaikan diri dalam tempoh itu dan mereka didapati terperangkap dengan amalan negatif kerana hilang minat atau motivasi ke sekolah.

Faktor lain yang boleh menyumbang ke arah gejala ponteng di kalangan pelajar ialah kerana terikut-ikut atau terpengaruh dengan rakan sebaya.

Justeru, tindakan membenarkan polis menahan pelajar ponteng dan melepak di pusat beli-belah boleh mengurangkan masalah itu, walaupun bukan penyelesaian kepada permasalahan secara menyeluruh.

Jalan penyelesaian jangka panjang yang lebih baik ialah menerusi peraturan dan disiplin sekolah yang lebih ketat dan faktor penarik di sekolah yang dapat menarik pelajar untuk sentiasa berada di sekolah.

Apabila pelajar suka kepada persekitaran di sekolah, kecenderungan mereka sentiasa berada di sekolah boleh membantu mengatasi gejala ponteng.

Sehubungan itu, langkah polis Kuala Lumpur untuk menahan pelajar sekolah yang didapati ponteng kelas dan merayau-rayau di pusat beli-belah serta pusat hiburan di sekitar ibu negara adalah langkah membendung gejala ponteng yang mendapat reaksi positif daripada pelbagai pihak.

Walaupun Presiden Majlis Peguam, Khutubul Zaman Bukhari, dilaporkan berkata langkah menahan pelajar ponteng adalah salah di sisi undang-undang kerana tiada peruntukan membenarkan polis bertindak sedemikian, tetapi ramai berpendapat langkah polis Kuala Lumpur itu wajar sebagai menunaikan tanggungjawab sosial.

Beberapa pertubuhan pula seperti Badan Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kebangsaan serta Persatuan Kebangsaan Pengetua Sekolah Menengah Malaysia (PKPSMM) turut menyokong dan bersetuju usaha polis itu sambil meminta ia diperluaskan ke seluruh negara.

Ini kerana saban hari kelihatan ramai pelajar yang masih berpakaian sekolah berpeleseran di pusat beli-belah dan pusat hiburan bukan sahaja di tengah bandar raya Kuala Lumpur tetapi juga di bandar seluruh negara.

Menteri Pelajaran, Datuk Hishammuddin Hussein, ketika menyokong cadangan polis itu, meminta Majlis Peguam mengemukakan cadangan bagaimana polis boleh membantu mengatasi masalah ponteng di kalangan pelajar berikutan bantahan pertubuhan berkenaan.

Beliau berkata, masalah pelajar berkeliaran dan melepak di pusat beli-belah pada waktu sekolah perlu dilihat dari segi menangani satu masalah sosial.

Menurutnya, yang penting dalam soal pelajar ponteng sekolah itu sekarang ialah matlamat, bukannya untuk membincangkan perkara yang boleh dijadikan halangan.

"Isunya bukan dari segi perundangan tetapi masalah sosial yang berhubung kait dengan masa depan anak kita," katanya.

Apapun, tindakan polis Kuala Lumpur itu perlu dilihat positif oleh semua pihak kerana pada masa ini tiada cara lain yang lebih berkesan melainkan peranan pihak berkuasa dan penguatkuasaan undang-undang yang dapat membantu membendung masalah itu.

Masalah ini seperti duri dalam daging yang menghancurkan anak bangsa kita yang dalam usia muda sudah terbabit dalam kegiatan negatif sehingga ada kes pelajar yang ponteng sekolah terbabit dalam jenayah dan dadah yang menjadi musuh negara.

Pihak sekolah dan institusi kekeluargaan didapati gagal menangani masalah itu dan polis dilihat dapat memainkan peranannya supaya masalah ini dapat ditangani daripada terus berleluasa.

Masyarakat perlu menyokong usaha ini kerana polis bersedia membantu mengatasi masalah ponteng di kalangan pelajar sekolah walaupun terpaksa melakukan tugas tambahan.

Cadangan itu dikemukakan hanya semata-mata kerana tanggungjawab sosial polis untuk membantu masyarakat menangani masalah disiplin di kalangan pelajar sekolah.

Ibu bapa juga tidak perlu risau kerana Kementerian Keselamatan Dalam Negeri memberi jaminan, polis tidak akan menahan pelajar yang ponteng sekolah di dalam lokap sebaliknya ditahan seketika di balai polis sebelum diserahkan kepada ibu bapa masing-masing.

Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Abdul Aziz Mohd Yusuf, berkata pelajar terbabit hanya akan ditahan lanjut sekiranya terbabit dengan kegiatan jenayah.

"Konsepnya hanya menahan pelajar dan kemudian hubungi ibu bapa mereka.

Ia dilakukan kerana mungkin ibu bapa tidak tahu perbuatan anak masing-masing atau mungkin juga tidak mampu mengawal tingkah laku mereka.

"Ibu bapa yang ambil berat masa depan anak mereka, sepatutnya menyokong tindakan ini. Jika ditakdirkan anak saya sendiri ditahan kerana ponteng sekolah, saya bersyukur dan terima kasih kepada polis kerana membantu perkara ini," katanya.

Gejala ponteng boleh menjuruskan pelajar ke arah perkara negatif kerana ada pelajar yang ponteng kerana berasa tertekan di sekolah dan mencari jalan keluar dengan berpeleseran.

Berikutan itu pengetua atau guru besar dan guru perlu berusaha menjadikan sekolah sebagai tempat yang benar-benar ceria dan menyeronokkan pelajar.

Ponteng tidak harus dianggap masalah remeh kerana gejala itu antara salah laku yang boleh menjuruskan pelajar ke arah amalan kehidupan negatif seperti budaya lepak dan berfoya-foya.

Sehubungan itu, selain pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat juga perlu bekerjasama membasmi gejala itu.

Virtual Friends - Copyright © 2001-2014 Virtual Fusion (0238980-U). All rights reserved