Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 DilaDellila • 10 years ago • 6,860 viewed


(Pakar Obstetrik dan Ginekologi)
Ketika mengandung, anda dan bayi berhubung rapat dan kesihatan serta kesejahteraan anda berdua turut berkait. Atas sebab inilah, anda perlu menghadiri pelbagai pemeriksaan antenatal bermula dengan trimester pertama, sebelum minggu ke-12, bagi membantu doktor anda memantau keadaan anda dan perkembangan bayi.

Seperti kebanyakan ibu, anda mungkin keliru dengan ujian-ujian yang anda perlu ambil. Anda mungkin merasa risau terutama jika doktor mengarahkan supaya anda mengambil ujian khas bukan rutin. Berikut adalah penerangan tentang pemeriksaan antenatal dan ujian-ujian yang dilakukan supaya anda faham kepentingannya.

Pemeriksaan ibu
Pemeriksaan antenatal yang pertama. Doktor anda akan meneliti sejarah perubatan, dengan penekanan kepada tahap kesihatan dan gaya hidup anda sekarang. Anda juga akan menjalani pemeriksaan kesihatan fizikal yang merangkumi ujian tekanan darah, jantung, paru-paru, tiroid, payudara dan gigi.

Ujian darah turut dilakukan bagi mengesan kemungkinan anemia dan status anda berkenaan jangkitan sesetengah penyakit (seperti status imunisasi rubella, Hepatitis B dan status pembawa HIV).

Pemeriksaan rutin selanjutnya. Jika anda tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan (yang mungkin menyebabkan anda perlu membuat pemeriksaan kesihatan dengan lebih kerap), anda akan berjumpa doktor sekali sebulan sehingga minggu ke-28, setiap dua minggu selepas minggu ke-28 hingga minggu ke-36, dan setiap minggu selepas minggu ke-36 sehingga kelahiran bayi.

Setiap kali, doktor anda akan menimbang berat badan, mengambil tekanan darah dan menganalis air kencing. Prosedur ini membantu beliau mengenal pasti sebarang tanda amaran pre-eklamsia, sejenis kombinasi tekanan darah tinggi, simpanan cecair berlebihan dan protein di dalam air kencing.

Turut dikenali dengan nama pre-eclamptic toxaemia, kejadian ini berlaku ke atas satu atau dua daripada setiap 20 orang ibu, terutama di trimester kedua kandungan mereka. Pre-eklamsia yang tidak teruk boleh dirawat, tetapi jika tidak dikawal ia boleh mengakibatkan eklamsia dan sawan serta koma.

Sampel air kencing anda juga akan diuji untuk mengesan sebarang jangkitan dan gejala diabetes kehamilan. Diabetes jenis ini disebabkan oleh kandungan dan perlu disahkan dengan ujian lanjut. Ubatan-ubatan dan perubahan diet seharian yang diselia oleh doktor mungkin diperlukan bagi mengawal kandungan gula di dalam darah.

Anda juga mungkin diberi suntikan vaksin tetanus, biasanya selepas minggu ke-22, bertujuan untuk melindungi bayi anda daripada jangkitan kancing gigi selepas lahir. Jika anda mengandung anak sulung, suntikan ini biasanya diulang sebulan kemudian.

Pemeriksaan bayi
- Dengan sentuhan
Dengan tekanan tangan yang lembut ke atas abdomen anda, doktor akan mengesan kedudukan atas rahim bagi menilai tumbesaran janin. Dari minggu 34 atau 36, doktor mungkin meminta anda memantau pergerakan bayi.

Jika bayi mendapat bekalan oksigen yang secukupnya, dia patut bergerak sekurang-kurangnya 10 kali dalam tempoh 12 jam. Bayi mungkin kurang bergerak jika dia mempunyai kembar atau jika si ibu merokok, menghidap diabetis atau tekanan darah tinggi.

- Dengan mendengar
Masuk minggu ke-14, doktor anda akan mendengar degupan jantung bayi dengan menggunakan sonicaid elektronik atau, selepas minggu ke-22, stetoskop janin berbentuk trumpet.

Pada tempoh dua bulan terakhir kandungan dan jika perlu, doktor mungkin menjalankan ujian kardiotokografi yang mengukur degupan jantung bayi dengan monitor elektronik.

Bunyi, rentak degupan dan kadar degupan yang ganjil bermaksud bayi mungkin tidak sihat.

- Dengan imbasan
Imbasan ultrabunyi (ultrasound) akan dilakukan seawal mula hamil. Imej janin di skrin boleh menenangkan anda dan mengesan tahap tumbesaran janin.

Imbasan mungkin dilakukan dengan lebih kerap jika anda pernah mengalami keguguran atau mengalami pendarahan atau kesakitan. Begitu juga jika doktor mengesyaki janin tidak membesar seperti sepatutnya.

Ujian-ujian khas untuk mengesan keganjilan kromosom. Jika anda berusia 35 tahun ke atas, atau terdapat risiko penyakit keturunan atau bayi terdahulu dilahirkan tidak normal, doktor mungkin menasihatkan anda untuk menjalani ujian-ujian khas seperti berikut.

- Ujian Darah
Ujian Triple pada minggu 14-16 mengukur tiga jenis komponen kimia darah (AFP, estriol dan hormon kehamilan yang dinamakan hCG) untuk mengesan kemungkinan kecacatan tiub neural (seperti spina bifida) dan sindrom seperti Down.

- Imbasan
Imbasan Nuchal Translucency mengukur pengumpulan cecair di belakang leher bayi. Ia dijalankan di minggu 10-12 bagi mengesan pelbagai gejala sindrom Down (sejenis keganjilan kromosom yang membantutkan pertumbuhan) dan Turner (keganjilan kromosom yang membantutkan tumbesaran dan perkembangan kelamin bagi bayi perempuan).

- Ujian Invasif
Amniosentesis, yang boleh dilakukan bila-bila masa selepas minggu ke-13, ialah sejenis ujian di mana jarum dicucuk ke dalam abdomen untuk mengambil sampel cecair di dalam rahim. Cecair ini digunakan untuk mengesan sindrom Down dan keganjilan kromosom yang lain.

Sejenis lagi ujian invasif ialah Persampelan Vilus Korion (Chorionic Villus Sampling) yang boleh dilakukan pada hujung trimester pertama atau lebih lewat dari itu. Jarum digunakan bagi mengambil sedikit sampel tisu dari uri (placenta) bagi mengesan sindrom Down dan penyakit darah seperti talasemia. Ujian-ujian invasif ini sangat penting terutama jika bayi disyaki mempunyai masalah kromosom atau keturunan.

Semua ibu berdoa untuk mendapat bayi yang normal dan sihat. Oleh itu anda perlu bekerjasama dan bersedia untuk menjalani pemeriksaan antenatal dan ujian-ujian lain yang mungkin anda perlukan. Tidak ada ujian yang sempurna dan kadangkala keputusan yang diperolehi kurang tepat.

Bagaimanapun, adalah penting bagi anda mengetahui status dan perkembangan diri anda serta bayi. Maklumat ini membantu anda menyiapkan diri bagi memelihara kedua-dua ibu dan bayi, dan membolehkan anda mengambil langkah awal jika salah seorang berada di dalam keadaan yang membimbangkan.

Virtual Friends - Copyright © 2001-2014 Rakan Maya (PPM-0003-10-14012014). All rights reserved